Sabtu, 14 Mei 2011
BERDOSAKAH KITA MENJADI MELAYU ?
Sebagai seorang manusia yang akan genap usia 20 tahun pada 18 Jun 2011 ini, saya menginsafi bahawa usia saya semakin bertambah. Oleh yang demikian juga kematangan saya semakin diterima khalayak. Dengan keyakinan itu, saya menulis akan tulisan yang kudus ini. Dalam meniti kedewasaan ini, saya mendapati ada perkara yang boleh ditukar sama ada suka sama suka, atau secara paksaan dan juga rela. Disebalik itu, saya juga ketemukan, banyak kejadian yang tidak mungkin kita dapat menukarkannya. Penting dicatat, saya turut mengagumi akan kurniaan 'anugerah' dan 'amanah'. Penyataan sebelum ini perlu bagi memacu tulisan saya dari awal huruf hingga ke noktah terakhir.
Apakah itu 'boleh ditukar' dan 'tetap'? Persoalan ini pantas terjawab apabila kita cuba mengaitkan pula dengan 'anugerah' dan 'amanah'. Untuk setakat ini, elok kita melihat suatu hubung kait berkaitan disiplin kimia yang asas. Dua zarah atau lebih dikenali sebagai campuran. Apakah pula menurut difinasi kimia berkaitan sebatian? Sebatian mudah untuk dihujahkan sebagai dua zarah yang berbeza atau lebih yang bergabung secara kimia. Dua entiti asas yang berbeza namun akhirnya bergabung secara kimia untuk bermutasi menjadi bahan baru. Contoh yang diterangkan di sini ialah pewarna dan air bergabung dan menjadi sesuatu yang dipanggil sirap. Ini falsafah. Bagaimana pula andai kita ilusikan falsafah ini kepada suatu pasak realiti? Sebagai mukadimahnya, kita andaikan politik sebagai 'pemainnya' dan serta 'agama' sebagai 'dorongannya'. Lihat kepada rumusan yang terhasil daripada kedua-duanya, “ agama itu tidak dapat dipisahkan dari politik tetapi dalam masa yang sama politik itu bukan agama dan sudah terang lagi bersuluh agama itu juga bukanlah politik”. Kesimpulan yang dapat dicetuskan ialah “ PAS itu bukan islam(agama), islam itu sudah termaktub bukanlah sebuah parti, masuk PAS belum jamin tiket ke syurga, dan yang paling penting masuk UMNO tidak semestinya ke neraka.”
Bersandarkan kepada satu perenggan tutorial kilat tersebut, saya merasakan sidang pembaca akan cakna akan isu yang berskala 'major' yang ingin dihujahkan oleh penulis. Sebagai seorang muslim, semestinya penulis menggambarkan anugerah islam ini sebagai suatu yang tiada metafora untuk menggambarkannya, bonusnya pula penulis menerima 'anugerah' ini secara warisan dengan kata lain menerusi keturunan. Penting dicatat bahawa sekelompok yang lain menerima hidayah islam setelah menyelusuri pencariaan kerohaniaan yang panjang. Tidak kurang juga yang telah tergelincir akidahnya walaupun dalam tepoh masa lampau mereka merupakan seorang islam. Seseorang berfahaman ateis(tidak beragama) boleh sahaja bertukar kepercayaan Hindu, dan ada juga dari agama hindu kepada Buddha tidak ketinggalan yang memilih Kristian atau sebagainya lagi. Secara 'universelnya' agama itu boleh ditukar dalam perjalanan seorang manusia untuk mencari suatu kepercayaan yang terbaik untuk mereka. Sebagai seorang islam, penulis lantas menyatakan bahawa islam merupakan agama yang sempurna. Begitu juga sebaliknya dengan rakan-rakan penulis yang menganut kepercayaan lain turut mempunyai keyakinan mereka yang tersendiri. Untuk perenggan ini, cukuplah untuk kita menginsafi bahawa ALLAH telah mengkehendakkan kita supaya memilih sesuatu yang terbaik dan tidak semestinya kita kekal atas apa yang kita yakini pada hari ini.
Dalam baris perenggan ini, elok disedarkan pula apa yang telah ditetapkan oleh ALLAH kepada kita. Perbincangan diperenggan ini terbatas kepada perkara yang bersifat lahiriah dan tidak melibatkan persoalan berat seperti ajal, jodoh dan yang lainnya. Persoalannya sekarang, apakah yang tidak boleh kita nafikan serta tidak mungkin mampu untuk ubah? Bagaimana kalau saya cadangkan jawapan seperti siapakah yang melahirkan kita? Siapakah ayah kandung kita? Apakah keturunan kita ? Apakah jawapan ini boleh ditukar ganti dengan sesuatu yang baru? Bayangkan sekiranya ibu kita seorang banduan, dia tetap ibu kita dan tidak boleh untuk kita tukarkan dengan seorang permaisuri sebagai ibu ganti kita. Banduan itu tetap ibu kita sejak dulu, kini dan selamanya dan syurga tetap di bawah telapak kaki dia. Sekiranya kita dikurniakan seorang ayah yang menagih dadah, mampukah kita menukarkan dia dengan ayah yang lebih baik padahal darah dia mengalir di dalam badan kita dan setiap urat darah kita? Dan apakah sesudah kita berbangsa melayu,hendak kita mengaku berbangsa Yahudi pula?
Ini bukan teori Darwin. Perancangan Allah adalah yang terbaik dan terindah untuk sekalian kita.Ini adalah amanah Allah kepada kita. Ibu merupakan amanah kepada kita untuk melihara maruahnya walau sehina manapun ibu kita. Ayah kita amanah untuk kita mempertahankan nama baiknya kerana nama ayah itu terletak pada hujung nama kita.Tidak ketinggalan juga bangsa kita menjadi amanah kepada kita untuk kita memartabatkannya.Apakah setelah membaca tulisan ini sehingga ayat ini telah menyedarkan kita tentang 'amanah' ini?” Tepuk dada tanya iman ,jangan buta perut,celiklah mata hati”.
Bila ditanya kepada saya,apakah yang saya perjuangkan?Setiap kali itu saya akan menjawab agama, bangsa dan negara. Dan soalan saya untuk kesekian kalinya,apakah dengan berkata saya sayang akan ibu dan ayah saya lantas saya dianggap bukan islam? Apakah jika saya melaungkan saya cintakan negara saya lalu saya dianggap tidak islamik?dan apabila saya melaungkan saya cintakan bangsa saya,saya ini telah keluar dari islam? Persoalan saya apakah PAS itu sudah islam apabila hanya mahu islam tetapi amanah yang lain 'dipijak' mereka dengan sehina-hinanya.Bagi mereka bangsa tidak ada nilai langsung,tetapi kalau tidak ada nilai langsung kenapa Allah jadikan 'bangsa' itu kepada kita?Apakah manusia yang bergelar “TOK GURU” ini tidak bersyukur kerana Allah jadikannya seorang yang berbangsa melayu?Apakah motif beliau berkata tidak berbangga menjadi Melayu? Apakah beliau bangga menjadi bangsa Yahudi?
Natijahnya,islam itu bukanlah begitu sempit seperti tafsiran PAS,islam itu suatu yang menyeluruh dari bangun tidur hinggalah tidur kembali. Bangsa kita itu juga cara hidup kita.Bila Tun Mahathir menyuarakan “WAWASAN 2020” pihak PAS membalas “WAWASAN AKHIRAT”. Apakah dalam perjalanan ke akhirat itu tiada perlu mencari bekalan dunia dahulu.Inilah perlunya “WAWASAN 2020”dengan merujuk satu hadis yang menghendaki kita berjaya di dunia dan juga akhirat. Dengan ini cukuplah penegasan dari saya bahawa kita mempunyai banyak amanah.Bangsa juga amanah. Apakah kita mahu bangsa kita “dicop” sebagai bangsat. Adalah lebih bangsat sekiranya kita tidak mempertahankan bangsa kita daripada si bangsat yang menyerang kita. Apakah berdosa kita ingin mempertahankan hak kita yang telah termaktub dalam undang-undang negara yang telah digugat oleh pihak tertentu? Dan apakah berdosa sekiranya kita seorang melayu? Saya bangga dan bersyukur kerana menjadi seorang melayu islam dulu, kini dan selamanya.
KPS: NI CATATAN KPS SECARA SPONTAN. KESILAPAN TATABAHASA AMATLAH DIKESALI.
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar