UNTUK PENGETAHUAN PKR DAN PAS......AKIDAH UMAT ISLAM ADALAH JAUH MELEBIHI POLITIK MURAHAN KALIAN....
Himpun kesal kenyataan pemimpin pembangkang
KUALA LUMPUR 20 Okt. - Sekretariat Himpunan Sejuta Umat (Himpun) kesal dengan kenyataan kurang sensitif beberapa pemimpin politik Melayu, khususnya daripada parti pembangkang yang seolah-olah mempertikai usaha murni mereka mempertahan akidah umat Islam di negara ini yang diancam aktiviti murtad.
Pengerusi Bersama Sekretariat Himpun, Dr. Yusri Mohamad berkata, sepatutnya semua pihak sama ada parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan yang mentauhidkan Allah perlu menyokong usaha berkenaan, bukannya mengeluar kenyataan yang prejudis dan bersifat politik.
"Saya tidak faham kenapa ada pemimpin politik Islam boleh membuat kenyataan sebegitu. Sepatutnya mereka menyokong usaha kami kalau pun enggan menyertai secara langsung. Memang kami cuba mengelak penglibatan parti politik tetapi kita mengalu-alukan kedatangan semua pihak.
"Tak timbul langsung soal perhimpunan ini bukan wadah terbaik bagi mempertahan akidah kerana hakikatnya memang telah berlaku aktiviti memurtadkan umat Islam. Bagi kami apa yang cuba Himpun buat pada Sabtu ini adalah usaha untuk menyelamatkan akidah umat Islam di Malaysia kerana ia wajib.
"Kalau pihak di luar sana masih hendak mengeluarkan kenyataan sedemikian, kami anggap ia bukan suara majoriti. Bagi Himpun, ini bukan soal kami tetapi ia panggilan Allah dan kalau kita tidak melakukan apa-apa bagi mempertahan akidah, tunggulah kemurkaan Allah," katanya pada sidang media Himpun di sini, hari ini.
Kelmarin, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) semasa mengumumkan pendirian parti itu untuk tidak menyertai Himpun berkata, perhimpunan itu bukan medium dakwah yang terbaik jika masalah kepincangan sosial, rasuah berleluasa dan kezaliman tidak ditangani dengan pendekatan yang lebih baik.
Mengulas lanjut, Yusri berkata, walaupun pelbagai pihak termasuk pemimpin Melayu sendiri prejudis dengan himpunan tersebut, pihaknya tidak akan hilang tumpuan daripada perjuangan asal bagi menentang aktiviti murtad, sekali gus menyelamatkan akidah umat Islam di negara ini.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang lagi sekretariat Himpun, Tan Sri Dr. Ibrahim Abu Shah berkata, parti politik Melayu yang mewakili umat Islam di negara ini perlu berhenti daripada mengamalkan budaya kepentingan politik melebihi segala-galanya, termasuk sanggup menjual agama Islam dengan meraih undi.
"Sebagai orang Islam tidak kira siapa pun kita, daripada parti mana dan apa juga ideologi politik, kita wajib mempertahan akidah. Akidah dan agama itu melebihi segala-galanya tetapi budaya politik di Malaysia sekarang sebaliknya. Mereka meletakkan kepentingan politik di atas sehingga sanggup menjual agama.
"Nasihat saya kepada pemimpin politik di negara ini, kita sudah tersilap dan baliklah ke pangkal jalan. Jangan berterusan mempolitikkan agama sehingga akhirnya masyarakat Islam di negara ini sendiri berpecah-belah. Akibat perpecahan ini mudah untuk pihak luar memesongkan akidah kita," katanya.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar