Rabu, 08 Agustus 2012

LAGI INSENTIF DARI KERAJAAN MALAYSIA

Najib lancar `1Malaysia Privilege Card'
PUTRAJAYA, SELASA, 07 Ogos, 2012: Sebagai menghargai sumbangan jasa serta bakti anggota polis dan tentera, kerajaan memperkenal satu lagi inisiatif terbaru bagi meringankan beban mereka dengan melancarkan kad '1Malaysia Privilege Card' khusus buat 241,000 anggota dan pegawai kedua-dua pasukan itu. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, inisiatif di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan 6 (NBOS 6) itu membolehkan pemegang kad berkenaan mendapat diskaun antara lima dan 25 peratus daripada harga produk atau perkhidmatan yang ditawarkan oleh kira-kira 20 syarikat yang mengambil bahagian. Beliau berkata, ia bertujuan memberi manfaat kepada warga Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia, yang dirujuk beliau sebagai kumpulan "Wira Yang Tidak Didendang", sebagai lanjutan kepada strategi NBOS 6, yang berkisar kepada kerjasama unik antara pelbagai jabatan serta agensi kerajaan yang diperkenalkan Malaysia, khusus untuk manfaat rakyat dan negara. "Mudah-mudahan kad ini dapat digunakan untuk menambah lagi kuasa membeli atau 'pendapatan boleh guna' rakyat," katanya semasa berucap pada majlis pelancaran kad itu serta portal 1Malaysia Privilege Card www.1mprivilege.my di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, hari ini. Turut hadir di majlis pelancaran itu ialah Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein, dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. - BERNAMA

Tidak ada komentar:

Posting Komentar