MAJLIS PERBANDARAN KANGAR BUAT PASAI.....UMNO JUGAK YANG KENA TEMPIAS....AYUH, SELESAIKAN SEGERA ISU INI
KANGAR 5 Mac - Kira-kira 30 peniaga makanan dan buah-buahan di jeti Kuala Perlis membantah tindakan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) kerana gagal menyediakan gerai di tapak baru sedangkan mereka telah menerima notis perpindahan berkuat kuasa esok.
Wakil peniaga, Shahrul Nizam Omar, 36, berkata, notis tarikh perpindahan itu diterima oleh peniaga berkenaan pada 2 Mac lalu.
"Apa yang dikesalkan, kami hanya disediakan dengan tapak kosong sedangkan notis perpindahan tidak sampai 24 jam lagi," katanya ketika ditemui di tapak baru yang disediakan oleh MPK bersebelahan dengan stesen bas ekspres.
Beliau berkata, kebanyakan daripada peniaga yang terlibat adalah yang menjual makanan. Mereka berhadapan dengan masalah untuk meletakkan perkakas memasak.
"Takkan kami (peniaga) hendak letak segala peralatan ini seperti dapur, tong gas dan kerusi meja di kawasan terbuka ini apabila berpindah esok kerana pastinya barangan ini dicuri," katanya.
Shahrul Nizam berkata, Yang Dipertua MPK, Rosly Mat dalam satu pertemuan dengan peniaga berkenaan pada Disember lalu telah berjanji akan menyediakan gerai berbumbung serta kemudahan air dan api kepada mereka.
Tambahnya, keadaan tapak sekarang pastinya akan menyebabkan para peniaga di situ mengalami kerugian antara 80 hingga 90 peratus sehari sebelum dapat memulakan kembali perniagaan mereka.
"Lebih perit kerana kami (peniaga) terpaksa membina gerai sendiri yang lengkap berbumbung dan berlantai simen. Ia memerlukan perbelanjaan sekurang-kurangnya RM3,000," kata beliau.
Menurut Shahrul Nizam, jumlah itu belum lagi merangkumi perbelanjaan untuk menyediakan bekalan air dan elektrik.
Lebih dikesalkan kata wakil peniaga itu, sepatutnya MPK menyediakan gerai yang sempurna sebelum mengeluarkan notis pindah bagi mengelak peniaga mengalami sebarang masalah dan kerugian.
"Lagipun kami (peniaga) telah membayar harga sewa gerai sebanyak RM120 setiap bulan sejak 14 tahun lalu," katanya.
Beliau menegaskan, peniaga juga tidak puas hati dengan tapak baru berkenaan kerana bukan sahaja jauh dari jeti yang menjadi tumpuan pelancong, malah dipenuhi dengan puluhan ekor anjing liar.
Katanya, lebih menyakitkan mata apabila di tapak ini juga terdapat tandas awam yang dibiarkan dalam keadaan tiada pintu yang pastinya akan menimbulkan rasa tidak selesa kepada bakal pengunjung.
Sementara itu Rosly ketika dihubungi memberitahu, pihaknya cuma berjanji untuk menyediakan tapak, elektrik dan air sahaja ketika pertemuan dengan para peniaga berkenaan baru-baru ini.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar