Tazkirah: Jais dakwa Khalid Samad, tauliah Dr Rani dibatal
September 06, 2011
KUALA LUMPUR, 6 Sept – Sementara isu membabitkan serbuan ke atas gereja belum lagi reda, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mendakwa Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dari PAS kerana memberikan tazkirah tanpa kuliah.
Turut menerima tindakan Jais adalah Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Rani Othman apabila tauliah beliau ditarik pada bulan Ramadan lalu.
Khalid (gambar) dipanggil di pejabat Jais hari ini dan dinyatakan pendakwaan ke atas beliau.
Perbicaraan ditetapkan 24 November ini Mahkamah Syariah Klang.
Beliau dibebaskan dengan jaminan mulut oleh pembantunya sementara menunggu tarikh perbicaraan.
Rani dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor Jun lalu manakala Khalid, Yang Dipertua PAS Shah Alam pula sebagai salah seorang timbalanya.
Rani, Adun Meru, menggantikan Datuk Dr Hasan Ali yang merupakan Exco Kerajaan Negeri bagi hal ehwal agama sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor.
“Tauliah saya tamat Ramadan lalu selepas menerimanya tahun lepas dan saya telah memohon untuk menyambungnya. Namun saya menerima surat dari Jais permohonan saya ditolak dan tauliah saya ditarik balik oleh Jais,” kata Dr Rani dipetik Harakahdaily.
Khalid didakwa di bawah Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor. Jika sabit kesalahan beliau boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
Khalid didakwa memberikan kuliah agama Islam tanpa permit ketika memberikan tazkirah Ramadan pada 16 Ogos lalu di surau Taman Seri Sementa, Kapar, Klang.
Sebelum ini, Jais mendapat kritikan pelbagai pihak apabila didakwa membuat serbuan ke atas Gereja Methodist Damansara Utama.
Jais pula berkata, pihaknya membuat pemeriksaan dan bukannya serbuan di gereja itu atas dakwaan dan maklumat ada usaha mengkristiankan umat Islam.
Dalam pada itu, Khalid ketika dihubungi Harakahdaily berkata, semasa tazkirah Ramadan itu beliau memang menyentuh peranan umat Islam dalam menguruskan hal ehwal agama di negeri ini.
“Saya memberikan tazkirah tentang cerita yang berlaku di zaman Saidina Ali menjadi khalifah Islam di mana semasa peperangan Sifin baginda dapati baju besi baginda hilang.
“Apabila pulang baginda dapati seorang Yahudi sedang menjual baju besi itu di pasar lalu baginda berkata itu baju besinya. Yahudi itu pula berkata, ini aku punya.
“Lalu kes ini dibawa ke mahkamah Islam ketika itu iaitu Qadhi. Qadhi bertanya Saidina Ali, apa bukti dan saksi bahawa baju besi itu baginda yang punya.
“Saidina Ali berkata, bukti tidak ada tetapi saksi ada iaitu Hassan dan Husein. Qadhi kata, kedua-duanya tidak boleh jadi saksi yang adil kerana mereka berdua anak baginda. Jadi kes ini ditolak oleh Qadhi dan jadilah baju besi itu milik Yahudi itu.
“Saya ingin beritahu kepada hadhirin keadilan Islam ini bukan kepada Islam sahaja bahkan kepada Yahudi pun hatta berlawan dengan Khalifah Islam sendiri.
“Saya nak kaitkan, kita umat Islam kena dengar kedua-dua belah pihak dalam kes Jais siasat gereja ini bukan dari sebelah pihak dan membuat keputusan,” cerita Khalid tentang tazkirah yang diberikannya
KPS : PATUT LAMA DAH TARIK
Tidak ada komentar:
Posting Komentar