Keberanian itu membabitkan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyelamatkan tentera AS daripada menjadi mangsa serangan para pengikut setia puak penentang Jeneral Farrah Aidid.
Apa yang pasti, anggota ATM berada di barisan hadapan sekali ketika operasi menyelamat di dua lokasi berasingan yang terletak kira-kira tiga kilometer antara satu sama lain.
Operasi menyelamat dan pertempuran sengit itu mengambil masa lebih tujuh jam bermula pada sebelah malam dan hanya awal pagi keesokan harinya semua anggota ATM berjaya membawa keluar puluhan tentera AS dengan selamat.
Walaupun sebelum ini ATM dianggap tidak mempunyai pengalaman berperang di peringkat antarabangsa atau di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), namun peristiwa di Mogadishu itu mencatatkan kejayaan dan kehebatan sebenar tentera Malaysia pada mata dunia.
Seorang anggota ATM yang turut terbabit dalam operasi itu, Leftenan Kolonel Mohd. Halim Khalid, 44, buat pertama kalinya mendedahkan kisah sebenar yang berlaku.
Ketika itu Mohd. Halim berpangkat kapten dan bertugas sebagai Penolong Ketua Kompeni B, Batalion Malaysia di Somalia.
“Saya bersama beberapa rakan ketika itu bertugas di bilik gerakan pada pukul 4 petang apabila menerima arahan untuk menggerakkan kompeni ke Pelabuhan Mogadishu yang dikawal oleh tentera pengaman dari Pakistan.
“Kami tidak diberitahu gambaran lebih terperinci operasi itu. Ekoran itu, satu Kompeni B bersama 16 kereta perisai APC Condor dengan kira-kira 100 anggota ATM telah bergerak ke pelabuhan berkenaan,” kata Mohd. Halim memulakan ceritanya.Semasa berada di pelabuhan berkenaan Mohd. Halim dan rakan-rakan setugas sudah dapat mendengar bunyi tembakan yang datang dari sekitar kawasan Pasar Bakara selain melihat percikan api tembakan.
Ketika itu, Ketua Kompeni, Mejar Abdul Rashid Ahmad yang sebelum itu membuat tinjauan di sebuah lokasi di Mogadishu kemudian turut serta di pelabuhan berkenaan.
Kira-kira pukul 6 petang, satu lagi pasukan dari Kompeni A ATM bersama 16 kereta perisai APC Condor bersama sejumlah anggota diketuai Mejar Aziz Abdul Latif turut tiba di pelabuhan tersebut.
“Semasa di pelabuhan itu, dapat dilihat sebuah helikopter Black Hawk AS mendarat cemas dengan seorang daripada tiga anggotanya sudah terkulai kakinya akibat kecederaan parah.
“Daripada keadaan sekitar itu, saya dan rakan-rakan mula mengumpul maklumat berhubung keadaan yang berlaku namun situasi sebenar belum diketahui,” kata Mohd. Halim.
Menurutnya, kira-kira waktu senja barulah datang sepasukan konvoi 200 tentera AS bersama beberapa trak dan ini diikuti tentera Pakistan dengan empat buah kereta kebal jenis M48.
“Pada pukul 9.30 malam, sebuah helikopter AS mendarat bersama seorang anggota berpangkat kolonel. Dengan menggunakan lampu suluh dan peta, kolonel Casper terus memberi perintah operasi menyelamatkan sejumlah tentera AS di dua lokasi di Pasar Bakara iaitu kira-kira 10 kilometer dari pelabuhan tersebut.
Pasukan ATM hanya diberitahu mereka akan dipandu arah ke dua lokasi kejadian dari udara oleh helikopter AS.
Menaiki
“Sebelum bergerak kira-kira pukul 10.30 malam, enam hingga tujuh anggota ATM bagi setiap kereta perisai yang berjumlah 32 buah kesemuanya diminta pulang ke kem bagi memberi tempat duduk kepada tentera AS menaiki kereta perisai tersebut.
“Ramai kalangan anggota ATM yang merayu hendak turut serta tetapi disebabkan arahan dan tiada tempat dalam kereta perisai itu, mereka hampa.
“Disebabkan itu juga, hanya tiga hingga empat anggota ATM sahaja berada dalam setiap kereta perisai bersama enam hingga tujuh anggota AS,” kata Mohd. Halim.
Pergerakan konvoi menyelamat itu didahului dua kereta kebal tentera Pakistan, diikuti Kompeni B ATM dengan 16 buah APC Condor dan bahagian belakang disertai oleh Kompeni A tentera AS bersama trak-trak. Konvoi pertama itu pula diikuti konvoi kedua yang didahului Kompeni A ATM bersama 16 buah APC Condor dan ini diikuti pula tentera AS bersama trak-trak di belakangnya.
Bagaimanapun, dua kereta kebal Pakistan itu hanya mengiringi konvoi-konvoi itu hingga ke satu check point sahaja, iaitu di luar killing zone. Difahamkan kereta-kereta kebal itu tidak memasuki ‘killing zone’ atas alasan tidak mempunyai kelengkapan night vision.
Walaupun serba kekurangan dan hanya menggunakan kereta perisai APC Condor yang kurang ketahanannya berbanding kereta kebal, namun anggota ATM meneruskan juga operasi menyelamat tersebut.
Kereta perisai ATM menggunakan mesingan 7.62mm berbanding kereta kebal tersebut yang mempunyai persenjataan lebih besar iaitu 12.7mm.
“Saya berada dalam salah sebuah kereta perisai Kompeni B ATM - konvoi pertama dan kami kemudian meneruskan gerakan memasuki killing zone.
“Sebaik sahaja hendak memasuki killing zone, kami digempur bertubi-tubi di kiri dan kanan jalan raya termasuk daripada senjata mesingan, mortar dan sebagainya. Kami digempur termasuk dari sebuah bangunan, Hotel Olimpic.
Menurut Mohd. Halim, mereka digempur dengan hebat kira-kira tiga jam.
“Dalam keadaan gelap-gelita itu, kami turut membalas tembakan,” katanya.
“Walaupun tidak pernah bertempur, tetapi saya tak tahu bagaimana tiba-tiba semangat sanggup berjuang terpahat pada diri setiap anggota.
“Begitu juga dengan anggota-anggota yang begitu berani mengendalikan mesingan di bahagian belakang APC Condor kerana sanggup keluar mempamerkan diri mereka kepada pihak militia,” katanya.
Menurut Mohd. Halim dari persimpangan berhampiran Hotel Olimpic itu pasukannya terpaksa bergerak kira-kira satu kilometer sebelum dapat tiba ke sebuah lokasi di mana sekumpulan tentera AS sedang berlindung setelah terperangkap sejak siang hari.
“Apabila tiba di lokasi kedudukan tentera AS, kita dapat tahu 18 tentera AS telah terbunuh manakala 73 yang lain cedera.
“Mereka yang cedera dan mayat-mayat itu dibawa menaiki APC Condor ATM. Hanya kira-kira pukul 7 pagi barulah kami dapat bergerak pulang ke pangkalan,” katanya.
Sementara itu, tanpa Mohd. Halim sedar, daripada 16 kereta perisai dalam kompeninya itu, dua kereta perisai berada paling belakang sekali telah tersasar ke laluan sebelah kiri ketika berada di persimpangan berhampiran Hotel Olimpic.
Bertempur
Persimpangan ke sebelah kiri itu menuju ke lokasi kedua bagi menyelamat di mana terdapat sekumpulan tentera AS yang terperangkap.
Seorang anggota ATM yang turut melalui pengalaman bertempur semasa di kawasan Pasar Bakara, Mejar Muhammad Juraimy Aripin memberitahu, pasukannya ditugaskan ke lokasi kedua bagi menyelamat sekumpulan tentera AS.
Beliau yang ketika itu berpangkat leftenan muda dan tidak sampai setahun menyertai ATM berkata, beliau dan rakan-rakan telah diarah oleh Mejar Aziz Abdul Latif ke lokasi tersebut.
“Kami diserang bertubi-tubi. Seperti kereta perisai dari Kompeni B, kereta perisai kami juga hanya dinaiki oleh tiga hingga empat anggota ATM manakala tentera AS yang sebelum itu ada bersama telah turun disebabkan prosedur menetapkan apabila diserang mereka perlu mencari perlindungan di kawasan selamat,” katanya.
Sebelum itu, kata Juraimy pada masa operasi menyelamat tersebut, hanya tiga daripada empat sahaja kereta perisai yang ada dapat bergerak ke hadapan.
Ini disebabkan salah sebuah kereta perisai berkenaan telah digempur menyebabkan pemandunya tidak dapat melihat apabila alat smoke launcher ditembak musuh dan asap alat itu telah terkena pada mata pemandu kereta perisai.
“Walaupun hanya tiga kereta perisai tetapi kami tetap bergerak ke hadapan untuk operasi menyelamat seperti diarahkan,” katanya.
Apabila tiba di lokasi kedudukan tentera AS yang dikepung, beberapa tentera AS terus berlari mendapatkan dan berlindung dalam kereta perisai ATM berkenaan.
“Saya tak tahu berapa ramai tentera AS menaiki kereta perisai kami tetapi keadaan ketika itu macam sardin. Mereka (tentera AS) didapati lesu dan keletihan. Yang pasti, jumlah anggota tentera AS dalam setiap kereta perisai itu melebih 10 orang.
“Sebaik sahaja hendak berpatah balik, kami sekali lagi diarah bergerak ke depan semula setelah mendapat maklumat terdapat dua kereta perisai dari Kompeni B ATM yang tersasar dari laluan asal dan kini berada di hadapan sekali serta telah digempur dengan hebat.
“Memang ketika itu tiada apa yang dapat difikirkan. Demi rakan dan setia kawan dalam ATM, perasaan takut ketika itu sudah hilang. Yang ada cuma semangat untuk terus bertempur dan berjuang bermati-matian di samping dapat menyelamatkan rakan-rakan setugas.
“Begitu juga rakan dalam setiap kereta perisai lain yang sanggup keluar sebahagian badan mereka semata-mata untuk mengendalikan mesingan yang berada di bahagian belakang APC Condor,” katanya.
Operasi oleh konvoi Kompeni A itu telah berjaya menyelamatkan anggota ATM termasuk Prebet Rizal Ismail yang berada dalam konvoi di bahagian hadapan sekali.
Namun, seorang rakan setugas, Koperal Mat Aznan Awang telah terkorban setelah kereta perisai dinaiki dan berada di bahagian hadapan telah ditembak dengan senjata antikereta kebal.
Kata Juraimy, mereka akhirnya dapat keluar dari killing zone itu kira-kira pukul 6 pagi. Bagi Mohd. Halim dan Juraimy, pengalaman bertempur dan menyelamatkan tentera AS yang terperangkap di dua lokasi di Pasar Bakara merupakan satu pengalaman yang sukar dicari ganti.
Kedua-dua anggota ini yang dianugerahkan pingat Panglima Gagah Berani (PGB) oleh Yang di-Pertuan Agong pada tahun 1994 menganggap pengorbanan ATM di Somalia amat besar dan tidak ternilai.
Kisah benar keberanian anggota ATM di Somalia ini merupakan catatan sejarah yang tidak boleh dinafikan walaupun tiada filem seumpamanya dapat memberi gambaran seperti yang dihasilkan melalui filem Black Hawk Down.
Bagi anggota-anggota ATM ini, sejarah tetap sejarah walaupun mereka ini tidak disanjungi melalui layar perak.
MUNGKIN PIHAK KRU STUDIO BOLEH BIKIN FILEM BERKAITAN INI DALAM VERSI SEJARAH YANG BENAR. KALAU BOLEH PELAWA LA KPS SEBAGAI WATAK UTAMA. HEROIN NANTI KITA RUNDINGKAN KEMUDIAN.
KPS : KITA YANG MENYEBABKAN SEJARAH KITA BERKUBUR...SEDARLAH DIRI KITA SENDIRI
Tidak ada komentar:
Posting Komentar