Senin, 23 April 2012
Ekonomi bukan penentu segala-galanya- OLEH RIDHUAN TEE
Ekonomi bukan penentu segala-galanya
(Sinar Harian23.4.12)
Apabila membincang soal pendidikan, jarang kita mahu melihat dalam konteks semangat sayangkan agama dan cintakan negara, seperti yang terangkum dalam makna patriotisme dan nasionalisme. Dalam kepala kita, hanya ada nilai ekonomi, ekonomi, ekonomi. Seolah-olah ekonomilah tanda aras yang menentukan hala tuju sesebuah negara. Bidang lain sudah tidak penting lagi.
Kita terlalu mengejar pembangunan, kemewahan dan keduniaan, bertunjangkan kekuatan ekonomi. Kita lupa, tanpa semangat keagamaan, patriotisme dan nasionalisme, pencapaian ekonomi tidak ada maknanya. Inilah perkara yang selalu dikaburi oleh ultra kiasu dan musuh Islam, agar kita lupa jihad yang sebenar.
Jika di negara lain, kesedaran patriotisme begitu dititikberatkan, kerana itulah asas kehidupan bernegara. Namun, saya berasa amat pelik, kenapa dan mengapa kita memandang remeh isu ini? Asyik-asyik kekuatan ekonomi dan unity in diversity. Berlakukah realiti itu?
Ya, saya tidak nafikan, semua itu juga adalah satu kekuatan. Tetapi apalah erti kekuatan tersebut, jika jiwa rakyatnya kosong dan hanya memikirkan bangsa sendiri sahaja. Sebab itulah, Perdana Menteri Britain, David Camerons mengatakan multiculturalism is dead. Buatlah kajian kenapa pemimpin sebuah negara maju dan hebat ekonominya boleh mengeluarkan kata-kata sedemikian. Kita jarang mahu membuat kajian. Kita asyik berpolitik untuk mendapat undi.
Semua percaya dan amat yakin, negara China akan keluar sebagai kuasa besar ekonomi. Itulah hakikatnya. Namun, kita jarang buat kajian, kenapa dan mengapa China boleh bangkit sebagai salah kuasa besar dan kuasa ekonomi? Sedarkah kita bahawa rakyat China mempunyai semangat patriotisme dan nasionalisme yang tinggi. Faktor inilah yang telah melonjak ekonomi dan pembangunan mereka serta muncul sebagai kuasa besar.
China sudah terkenal dengan bangsa yang amat bongkak dengan tamadun dan kebudayaannya. Tidak timbul soal dua China, termasuk melepaskanTaiwan dan Hong Kong. Begitu juga kepulauan Spratly. China berdiri teguh dengan semangat 1China. Semangat 1China ini begitu kuat mengikat, sebab tidak akan wujud 2China sampai bila-bila.
Begitu juga dengan negara Korea Utara. Walaupun 1Korea Utara dikatakan ‘mundur’, namun semangat patriostisme yang kuat telah melonjak negara ini. Jika bukan kerana sekatan negara barat, sudah lama negara komunis maju lebih pantas berbanding Korea Selatan. Dalam keadaan yang tertekan ini, berbekalkan semangat patriotisme, mereka masih mampu melancarkan peluru berpandu dan menghasil senjata dan tenaga nuklear.
Inilah faktor utama kejayaan mereka. Ekonomi memang penting, tetapi mesti didahului dengan semangat patriotism dengan mengutamakan agenda nasional. Bila saya bercakap sebegini, ramai yang menuduh saya membuat serangan atau menanam kebencian terhadap orang Cina. Terus terang, tidak ada niat langsung untuk menanamkan semangat anti Cina, kerana saya sendiri dan keturunan saya adalah Cina. Saya cuma menyeru agar kita menyahut sama agenda kebangsaan.
Misalnya, bagaimana kita boleh mengatasi masalah buta bahasa kebangsaan yang menjadi agenda utama pembinaan negara? Mengikut kajian, hasil produk SJKC, satu daripada empat pelajarnya akan tercicir kerana tidak dapat menguasai bahasa Melayu. Setakat ini terdapat 1293 buah SJKC, 78 Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC). Ini tidak termasuk Sekolah Menengah Persendirian Cina. Kebanyakan orang Cina memilih Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) untuk pengajian seterusnya kerana sudah tidak ada pilihan. Jika SMJKC sama banyak bilangan seperti SJKC, sudah tentu aliran SMK bukanlah lagi pilihan.
Terbaharu, timbul pula cadangan supaya kelas peralihan (remove class) di SMK dirombak dan diberi penambahbaikan kecinaan. Sebelum itu lagi, pada September 2011, sebuah jawatan kuasa yang disertai oleh 13 Persatuan Cina telah ditubuhkan, mendesak kerajaan supaya mengkaji semula keberkesanan kelas peralihan, termasuk silibusnya dan cara pengajaran dan pembelajaran (P&P) guru-gurunya. Guru-guru bukan Cina yang mengajar kelas peralihan di SMK mesti boleh menguasai bahasa mandarin. Pendek kata, mereka mahukan kelas peralihan dikendalikan sama seperti SJKC.
Apabila ada cadangan supaya diwujudkan kelas peralihan di SJKC bagi mereka yang gagal bahasa Melayu tahun enam, mereka cukup menentang atas alasan tidak cukup guru dan prasarana. Pada saya, yang perlu dikaji semula bukan kelas sistem peralihan sekolah menengah, tetapi proses P&P di SJKC. Pastikan semua gurunya mesti pandai menguasai bahasa Melayu ketika mengajar apa jua subjek dalam bahasa Cina. Jika guru bukan Cina mesti disyaratkan menguasai bahasa Cina, apakah guru bahasa Cina tidak boleh disyaratkan fasih berbahasa Melayu? Kenapa mengajar bahasa Cina langsung tidak diselang selikan dengan bahasa Melayu?
Baiklah, katakan jika kerajaan terpaksa lagi tunduk dengan tuntutan ultra kiasu untuk mencinakan kelas peralihan, apakah jaminan selepas ini pelajar lepasan SJKC tidak akan tercicir lagi? Pada saya, hantarlah sebanyak manapun guru yang boleh berbahasa mandarin untuk mengajar apa jua subjek yang memerlukan terjemahan, sama ada di SJKC atau di SMK, selagi sikap tidak berubah dan semangat patriotism tidak ada, selagi itulah kita akan dibelenggu dengan masalah yang sama. Apakah kekuatan ekonomi dan unity in diversity akan berkekalan jika beginilah keadaannya?.
Pelajar Melayu pun ramai yang tercicir di sekolah menengah, kenapa perkara ini tidak perjuangkan oleh kita semua? Inilah fenomena biasa yang akan berlaku selagi patriotisme tidak menjadi teras. Isteri saya mengajar di kelas peralihan, masalahnya tidak ada seorang pun yang boleh menguasai bahasa Melayu mudah. Mengajar mereka seperti mengajar bayi yang baharu membesar. Seorang menjadi itik, seorang menjadi ayam. Pelajar ini tidak boleh disalahkan. Sistem yang menjadikan mereka sedemikian.
Biarlah kita bersama ketika senang dan susah. Ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni. Hidup mati bersama mempertahankan negara. Saya amat bimbang jika ada pemikiran dalam bahasa hokkien seperti yang dipernah dibisikkan oleh ultra kiasu yang berbunyi huan na ceng ko, teng lang cau lo, bermaksud pastikan Melayu terus mundur, orang Cina mesti ke hadapan.
Prof Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
وَكَمْ أَهْلَكْنَا قَبْلَهُمْ مِنْ قَرْنٍ هُمْ أَشَدُّ مِنْهُمْ بَطْشًا فَنَقَّبُوا فِي الْبِلَادِ هَلْ مِنْ مَحِيصٍ
BalasHapusDan berapa banyaknya umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka yang mereka itu lebih besar kekuatannya daripada mereka ini, maka mereka (yang telah dibinasakan itu) telah pernah menjelajah di beberapa negeri. Adakah (mereka) mendapat tempat lari (dari kebinasaan)?
50:37
إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَذِكْرَىٰ لِمَنْ كَانَ لَهُ قَلْبٌ أَوْ أَلْقَى السَّمْعَ وَهُوَ شَهِيدٌ
Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat peringatan bagi orang-orang yang mempunyai akal atau yang menggunakan pendengarannya, sedang dia menyaksikannya
وَكَمْ أَهْلَكْنَا قَبْلَهُمْ مِنْ قَرْنٍ هُمْ أَشَدُّ مِنْهُمْ بَطْشًا فَنَقَّبُوا فِي الْبِلَادِ هَلْ مِنْ مَحِيصٍ
BalasHapusDan berapa banyaknya umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka yang mereka itu lebih besar kekuatannya daripada mereka ini, maka mereka (yang telah dibinasakan itu) telah pernah menjelajah di beberapa negeri. Adakah (mereka) mendapat tempat lari (dari kebinasaan)?
50:37
إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَذِكْرَىٰ لِمَنْ كَانَ لَهُ قَلْبٌ أَوْ أَلْقَى السَّمْعَ وَهُوَ شَهِيدٌ
Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat peringatan bagi orang-orang yang mempunyai akal atau yang menggunakan pendengarannya, sedang dia menyaksikannya