Jumat, 20 April 2012

ADIK NURZAHRA DAMIA PERLUKAN BANTUAN SEGERA - BLOGER ASSASSIN CYBER




Dua kali dia diduga tetapi pasangan ini tabah menghadapinya. Namun hanya Tuhan yang mengetahui apa tersirat di dalam hati mereka. Dengarkan curahan hati pasangan ibu bapa ini.

Kediaman Zuraidah Abdul Rahman, 24 dan Idris Md Jadi, 30, sunyi dan sepi tanpa suara bayi kecil. Walhal si isteri baru seminggu melahirkan bayi diberi nama Nurzahra Damia. Bagaimanapun, si kecil ini terpaksa ditahan di wad NICU Hospital Sg Buloh kerana mempunyai masalah jantung.

Dua tahun lalu, kisah sedih keluarga ini pernah dipaparkan dalam majalah ini. Ketika itu, anak sulung mereka iaitu Robbul Izzati menderita sakit paru-paru akibat dijangkiti kuman sejak lahir. Penderitaan permata hati mereka itu berakhir apabila adik Robbul Izzati pergi meninggalkan mereka pada Januari tahun lalu.

Biarpun sedih dengan hakikat itu, namun Zuraidah dan Idris redha dengan ketentuan-Nya. Allah itu Maha Kaya apabila beberapa bulan selepas pemergian adik Robbul, si ibu dikhabarkan bakal menerima anak kedua. Kegembiraan jelas terpancar namun jauh di sudut hati si ibu, terselit rasa bimbang. Bagi Zuraidah, dia harus reda dengan apa jua ketentuan yang tertulis buatnya.

Diuji Lagi

Kini mimpi ngeri tersebut seakan berulang sekali lagi. Anak kedua yang dilahirkan secara pembedahan caesarean pada 14 Februari lalu berkedudukan songsang di saat akhir turut menanggung derita kesakitan.

Menurut Zuraidah sepanjang mengandung anak kedua tiada sebarang kelainan dikesan pada janinnya menerusi ujian imbasan terperinci yang dilakukan oleh doktor pakar. Zuraidah yang sekali lagi menghidap kencing manis semasa mengandung dan tekanan darah tinggi yang turun naik diarahkan bersalin awal dua minggu daripada tarikh jangkaan.

Biarpun menjalankan pemeriksaan di Hospital Selayang di bawah pemantauan doktor pakar tetapi di akhir kehamilan dia bertukar ke Hospital Sg Buloh.

Lihat anak selepas tiga hari melahirkan Jika orang lain dapat mendakap anak yang dilahirkan sebaik selesai bersalin tetapi ia tidak berlaku kepada Zuraidah. Walaupun hatinya tertanya-tanya bagaimana rupa anak yang dikandung namun akibat bius yang disuntik membuatkan beberapa jam terawal dia tidak mampu membuka mata.

“Selepas bersalin, doktor langsung tidak cakap apa-apa kepada saya. Bila saya sudah sedar dan masuk ke dalam wad bersalin, perasaan berdebar-debar. Terkejut kenapa anak tak ada sekali dalam wad. Suami pun tidak beritahu apa-apa. Masuk hari ketiga barulah saya dapat tengok anak.

Mula-mula tengok dia, saya rasa sebak dan tidak sampai hati hendak melihat sebab teringat kembali kepada arwah Robbul. Sedih dan tidak terkata apa. Sebagai manusia biasa hati saya tertanya-tanya kenapa agaknya saya sekali lagi diuji sedemikian.

Tapi kemudian saya reda dan terima dugaan daripada Allah,” ceritanya menahan air mata. Sebenarnya menurut suami Zuraidah pula, sejak hari kedua lagi anaknya sudah dibawa ke Hospital Serdang untuk pemeriksaan tetapi doktor tidak dapat mengesan masalah jantungnya dan hari keempat dibawa pula ke Institut Jantung Negara (IJN) yang akhirnya dapat mengesan masalah pada jantungnya.

Pelbagai Penyakit Lain

Si kecil yang lahir seberat 2.75 kg mempunyai masalah jantung yang besar di mana salah satu saluran untuk menyalurkan oksigen ke paru-paru tertutup.

Oleh itu pembedahan segera untuk memasang tiub menggantikan saluran yang tertutup itu perlu dilakukan segera sebelum pembedahan membuat saluran baru dilakukan apabila Nurzara berumur tiga tahun.

Menurut Idris lagi, sekarang ini jangka hayat anaknya hanya bergantung pada ubat sahaja. Ubat tersebut diberi untuk mengelakkan saluran PDA yang ada pada setiap bayi baru lahir tertutup.

“Kata doktor, biasanya saluran itu akan tertutup sendiri dalam masa seminggu. Oleh kerana anak saya tiada saluran lengkap jadi dia perlu bergantung pada saluran PDA tersebut.

Jadi pembedahan perlu dilakukan segera kerana dia seolah-olah di ambang maut,” ujarnya menambah kos pembedahan menelan belanja sehingga RM25 ribu atau lebih.

Selain daripada menderita masalah jantung, Nurzara juga disahkan mempunyai masalah pada buah pinggangnya, pertumbuhan otak yang perlahan dan ibu jari tangan yang terlipat. Otak Nurzara tidak mempunyai saluran utama dan sebelah kiri buah pinggangnya tidak ada.

Si kecil perlu bergantung 100 peratus pada mesin ventilator untuk bantuan pernafasan. Hasil perbincangan antara doktor di IJN dan Hospital Selayang mendapati otaknya tidak boleh berfungsi seperti orang lain walaupun pembedahan jantung dilakukan.

Mohon Segera Dibedah

Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Kesusahan yang ditanggung oleh pasangan muda ini terlalu berat. Sakitnya hanya mereka yang tahu.

Dengan pendapatan bulanan daripada Idris seorang sahaja yang bekerja pastinya sukar untuk mereka mengumpul wang sebanyak puluhan ribu untuk membiayai pembedahan anak mereka.

Apatah lagi Idris yang bekerja sebagai pemandu bas di sekitar bandar Rawang dibayar gaji mengikut hari bekerja. Ketika temu bual, dia sudah seminggu bercuti menguruskan masalah anaknya yang ditahan di hospital. Itu bermakna tiada gaji diterima untuknya sepanjang tempoh tersebut.

Mereka sangat reda dan tabah menerima ujian untuk kali kedua biarpun hakikatnya hati terlalu pedih dan sedih menghadapinya. Apatah lagi mereka berdua masih belum dapat mengangkat dan mendakap zuriat tersayang sejak dilahirkan.

Biarpun pilu menjalankan tempoh berpantang tanpa anak di sisi tetapi Zuraidah dan suami tidak pernah jemu berdoa memohon agar anaknya dapat segera dibedah hasil sumbangan kewangan daripada orang ramai yang sudi menghulurkan bantuan.

Menurut Idris, dia hanya mengikut apa sahaja yang terbaik demi melihat anak tersayang selamat.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank 162012795648 atau Bank Islam 14153020161917.

SEBARKAN



Tidak ada komentar:

Posting Komentar