Jumat, 01 Juli 2011

SPRM WAJIB SIASAT...AMBIGA HANG BERSIH HAT(YANG) NI DULU




Jutaan ringgit keluar ke Indonesia

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 29 Jun – Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan hari ini mendakwa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah ‘raja’ kepada segala aktiviti pengubahan dan pengaliran wang haram di negara ini.

Ia bersandarkan dakwaan bahawa Anwar melalui ‘orang tengah’ telah membawa keluar ratusan juta ringgit dalam not RM500 dan RM1,000 untuk disimpan di Indonesia dengan menggunakan jet peribadi milik syarikat judi.

Mengukuhkan lagi dakwaan itu, Gobalakrishnan berkata, semasa Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dahulu, sebanyak RM13.2 bilion wang dalam not RM500 dan RM1,000 telah dicetak.

Sehubungan itu, beliau menuntut Kementerian Kewangan menyiasat secara terperinci penglibatan Anwar dalam aktiviti tersebut dan berjanji akan membantu siasatan pihak berkuasa jika beliau diberi imuniti (kekebalan).

“Anwar ‘raja’ segala aktiviti penggubahan dan pengaliran wang haram di negara ini. Berbeg-beg wang dalam not RM500 dan RM1,000 diterbangkan ke Indonesia,” katanya semasa membahaskan Rang Undang-Undang Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada masa sama, beliau juga tidak menolak kemungkinan Anwar terbabit dalam aktiviti pengaliran wang haram berjumlah RM888 bilion seperti yang dilaporkan oleh Integriti Kewangan Global (GFI).

Ini kerana, kata Gobalakrishan, Anwar adalah pengamal nepotisme dan kronisme tegar dan beliau percaya, duit tersebut jugalah diguna sewaktu ketua pembangkang itu ‘mengguling’ Allahyarham Tun Ghafar Baba dahulu.

Selain itu, beliau juga mendakwa Anwar bersama Azmin Ali (PKR-Gombak) mengarahkan agar dana RM50 juta untuk Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelidikan Felda di Selangor, dialirkan secara haram kepada pemimpin pembangkang.

Tidak cukup dengan semua pendedahan itu, bekas wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, Azmin dan isterinya, Shamsidar Taharin serta seorang ahli perniagaan berbangsa Cina melaburkan jutaan ringgit dalam syarikat modal, tanpa diketahui dari mana datangnya wang berkenaan.

Sementara itu, bimbang lebih banyak rahsia dalaman mereka ‘dilondehkan’, Azan Ismail (PKR- Indera Mahkota) dan Dr. Siti Mariah Mahmud (Pas-Kota Raja) cuba menghentikan Gobalakrishnan daripada terus membuat pendedahan.

“Padang Serai ini dah makan tengah hari ke belum? Saya kagum dengan keberanian Padang Serai tetapi setuju atau tidak sebelum persidangan setiap ahli Parlimen perlu menjalani ujian air kencing untuk dipastikan dia mabuk atau tidak,” kata Azan.

Kemudian Siti Mariah pula bangkit membantu: “Bila Padang Serai buat tuduhan, kenapa tak lapor kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kalau berlaku salah guna, saya harap begitulah, tolong bawa kepada SPRM.”

Namun, percubaan Azan dan Siti Mariah itu gagal menghentikan tindakan berani Gobalakrishnan apabila beliau secara bersahaja dan sinis berkata: “Saya sudah makan tengah hari dan sekarang sedang makan PKR.”

KPS : KPS BERPANGKALAN DI PARLIMEN PADANG SERAI, DUN LUNAS

Tidak ada komentar:

Posting Komentar