Rabu, 08 Februari 2012

PARTI KITA TERUS BERANTAKKAN........BIAQ DEPA SELESAI LA....KITA TENGOQ SUDAH





SHAH ALAM, 7 FEB: Pengerusi Kedah dan Pulau Pinang parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), tidak mengiktiraf pemecatan mereka daripada parti itu dan bertekad memastikan KITA terus “hidup” dan presidennya Datuk Zaid Ibrahim diusir.

Zamil Ibrahim (Kedah) dan Tan Tee Beng (Pulau Pinang) berkata mereka menjadi mangsa salah guna kuasa akibat tindakan Jawatankuasa Displin parti untuk memecat mereka malam tadi.

“Saya akan buat satu laporan kepada Pendaftar Pertubuhan tentang salah guna kuasa pemimpin-pemimpin dalam parti ini,” kata Tee Beng kepada Antarapos.com.

Tee Beng mendakwa Zaid mahu memastikan cadangan beliau memansuhkan KITA tidak mendapat bantahan, justeru tindakan memecat beliau dan Zamil yang menjadi pengkritik utama cadangan itu.

“Jadi kalau dia takut dengan tujuh pimpinan negeri, memanglah dia hendak memecat kita sebab kita boleh membantah,” kata beliau merujuk kepada pimpinan beberapa negeri lain yang turut bantah cadangan membubarkan KITA.

Dalam pada itu, Zamil berkata Zaid jelas mendalangi pemecatan itu kerana tidak tahan dengan tekanan pimpinan negeri yang menolak hasrat beliau membubarkan KITA.

“Dia (Zaid Ibrahim) sudah tidak ada sokongan majoriti, jadi hanya kerana dia merasa tekanan daripada pelbagai sudut dan dua suara yang agak tegas daripada saya dan Tan Tee Beng, maka dia hendak pecat kami,” kata beliau.

“Dia (Zaid Ibrahim) boleh buat apa sahaja yang dia hendak buat, tetapi saya dan teman-teman sudah tidak mengiktiraf beliau,” tambahnya.

Zamil dan Tee Beng melontarkan kritikan pedas terhadap Presiden KITA Zaid Ibrahim, khususnya selepas Zaid bercadang membubarkan Kita menerusi sebuah mesyuarat agong luar biasa tidak lama lagi.

Selain mereka berdua, pimpinan Kita di Sabah, Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu dan Selangor juga menolak cadangan Zaid itu. Malah dilaporkan mahu mengusulkan undi tidak percaya terhadap beliau.

Zamil dan Tee Beng mempunyai 14 hari untuk merayu pemecatan mereka kepada Jawatankuasa Eksekutif parti.

MInggu lalu, Zaid berkata lebih baik KITA dibubarkan kerana ia gagal menarik ahli dan kurang sumber pembiayaian.

Beliau berkata pembubaran itu juga akan mengatasi keraguan bahawa KITA tidak menyokong Pakatan Rakyat pada pilihanraya umum akan datang.

Zaid mendakwa persepsi sedemikian timbul kerana kritikan yang sering dilontarkan oleh Zamil dan Tee Beng terhadap pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat. - antarapos.com

Tidak ada komentar:

Posting Komentar