Kamis, 02 Februari 2012

BEKAS PEMIMPIN PKR NAK MASUK UMNO....SARAWAK TAK ADA UMNO LA

Kelab pecah belah Barisan Nasional, kata Ngau

by Clare Cinderella. Posted on February 1, 2012, Wednesday

Usaha segelintir pihak mahu tubuh Kelab Penyokong UMNO kurang disenangi dan dianggap tidak logik


MIRI: Usaha segelintir pihak yang mahu menubuhkan Kelab Penyokong UMNO di utara negeri ini menimbulkan rasa kurang senang di kalangan ahli-ahli parti komponen Barisan Nasional (BN) di sini, yang menganggap usaha itu boleh memecahbelahkan perpaduan di kalangan penyokong BN kerana UMNO tidak wujud di Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau berkata, isu itu boleh menjadi sesuatu yang sensitif jika ada yang salah faham mengenai penubuhannya, terutama jika ada pihak yang cuba mengeruhkan lagi keadaan ketika ini.

Katanya, ketika ini semua mata tertumpu dengan usaha wakil rakyat BN yang tidak berparti menubuhkan Kelab Penyokong BN dan jika kelab ini diterima umum, maka mereka juga terpaksa menerima Kelab Penyokong UMNO dan kemudian akan ada lagi kelab-kelab lain yang tidak pasti keperluannya.

“Keduanya kita perlu lihat, adakah Kelab Penyokong UMNO ini ditubuhkan dengan ikhlas mahu menyokong BN Negeri ini atau sekadar untuk menguji?

“Sedangkan kita tahu dan sudahpun dijelaskan oleh Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa UMNO tidak akan masuk ke Sarawak walaupun sebelumnya ada usaha-usaha cuba membawa masuk UMNO ke Sarawak.

“Justeru apabila kita mendengar pula kelab ini ditubuhkan, apakah tujuan mereka,” katanya.

Menurut Dennis beliau secara peribadi merasakan bahawa kelab seumpama itu tidak perlu ditubuhkan bagi mengelak salah faham atau kekeliruan di kalangan penyokong BN sendiri.

“Jika bekas ahli-ahli PKR ini benar-benar mahu menyokong kerajaan maka mereka boleh menyertai mana-mana parti kompenan BN yang ada di negeri ini.

“Kita amat mengalu-alukan penyertaan mereka, tak perlulah bagi mereka menubuhkan kelab yang bermacam-macam yang boleh mengeruhkan lagi keadaan,” tambah beliau.

Dennis memberitahu demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan akhbar ini semalam yang menyatakan bekas orang kuat Parti Keadilan Rakyat (PKR), kini sedang dalam usaha menubuhkan Kelab Penyokong UMNO di Miri.

Timbalan Ketua Pemuda Angkatan Muda Keadilan (AMK) Jaya Ramba yang telah meletak jawatan secara rasmi dalam parti pembangkang itu pada 5 Januari lalu, kelmarin memberitahu Utusan Borneo bahawa beliau kini sudah mempunyai senarai nama 3,000 penyokong yang akan menjadi ahli kelab itu, yang dijangka dilancarkan dalam sedikit masa lagi.

Bagi seorang pemimpin sebuah parti komponen BN peringkat cawangan di sini, usaha menubuhkan kelab tersebut dilihat bukan membantu mengukuhkan lagi BN di Miri tetapi ia tidak ubah seperti ‘musuh dalam selimut’.

“Memang benar UMNO adalah parti BN, malah merupakan tunjang belakang kerajaan BN. Namun apa yang menjadi persoalan di sini ialah, UMNO itu sendiri tidak wujud di Sarawak, malah pemimpin tertinggi UMNO yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak membenarkan UMNO mengembangkan sayapnya di Sarawak, jadi apa pula logiknya kelab penyokong UMNO di sini?

“Malah ia seolah menentang atau melanggar arahan pemimpin parti itu sendiri.

“Jika ia tidak direstui bermakna ia tidak sah? Bukankah ini nanti akan mewujudkan satu kekeliruan di kalangan penyokong BN itu sendiri dan boleh diambil kesempatan oleh pembangkang,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang ketika dihubungi dari sini, semalam enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu sebaliknya berkata ia terpulang kepada individu itu sendiri sama ada mahu menubuhkan kelab berkenaan dengan niat yang baik atau sebaliknya.

“Terpulang kepada individu itu sendiri. Yang penting sesebuah kelab yang hendak ditubuhkan perlulah berdaftar dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS). Kalau ia disahkan terpulang (untuk menubuhkannya) tetapi jika ia tidak disahkan, bermakna adalah salah untuk menubuhkan kelab seperti itu kerana ia diharamkan,” tambahnya.

Ahmad Lai berkata beliau tidak menyokong, namun tidak pula menentang, terutama jika ditubuhkan secara sah dan direstui.

Read more: http://mukapetang.blogspot.com/2012/02/bekas-amk-pkr-miri-masuk-umno.html#ixzz1lDfRAiw7
Under Creative Commons License: Attribution Share Alike

Tidak ada komentar:

Posting Komentar