Selasa, 10 Januari 2012

WALAUPUN PAK NUAR BUAT 'KAHAQ'(HEBAT), TAPI PAK NUAR AKUI MASIH BELUM SELAMAT





KUALA LUMPUR, SELASA, 10 Januari, 2012: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan keputusan mahkamah membebaskannya daripada tuduhan meliwat ada kaitan dengan kebimbangan kerajaan terhadap imej buruk di mata dunia sekiranya beliau didapati bersalah.

Kata Anwar, Datuk Seri Najib Tun Razak terpaksa berdepan hakikat negara ini akan disamakan dengan Myanmar dan Zimbabwe (dari sudut amalan demokrasi) sekiranya beliau didapati bersalah sedangkan Perdana Menteri ketika ini berusaha menonjolkan dirinya sebagai pejuang transformasi.

“Saya juga percaya Najib turut menerima tekanan daripada pemimpin antarabangsa berhubung kes perbicaraan ini termasuk dari Washington yang menyuarakan kebimbangan terhadap kepentingan awam,” katanya seperti yang dilaporkan oleh agensi berita asing AFP semalam.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang melepas dan membebaskannya daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan atas alasan tiada keterangan yang menyokong keterangan mangsa.

Dalam wawancara dengan stesen televisyen Al-Jazeera di pekarangan mahkamah itu pula Anwar berkata, tuduhan liwat terhadapnya adalah kempen politik yang bertujuan memburuk-burukkan namanya dan keluarga.

Ia juga kata beliau, merupakan konspirasi yang dirancang oleh kerajaan untuk menamatkan karier politiknya.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada media antarabangsa termasuk Al-Jazeera serta rakan-rakan dari Timur, Barat, Turki dan Eropah yang memberi tekanan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak supaya tuduhan ke atas saya ini diadili dengan adil dan perbicaraannya berdasarkan fakta undang-undang,” katanya.

Terdahulu dalam reaksi awal selepas keputusan mahkamah diumumkan pagi ini, Anwar mengakui masih belum boleh menarik nafas lega walaupun dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan tersebut.

Katanya, masih terlalu awal untuk berkata sesuatu kerana pihak pendakwa masih berpeluang mengemukakan rayuan.

“Sekarang ini masih terlalu awal untuk menyatakan apa-apa kerana peluang untuk pendakwa meneruskan (kes) masih ada. Jadi, saya hanya bersyukur dengan keputusan yang diumumkan hari ini oleh Hakim, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah,” katanya.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar