Selasa, 22 November 2011

SULTAN DIHARAP DAPAT SELESAIKAN KEMELUT DI KEDAH




Rayu Sultan Kedah campur tangan isu madrasah

ALOR SETAR 20 Nov. – Seluruh jemaah dan ahli kariah Madrasah Salihiah memohon Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah agar campur tangan bagi menghalang tindakan kerajaan negeri membenarkan kerja-kerja merobohkan madrasah itu untuk dibina kompleks beli-belah.

Pengerusi madrasah, Ahmad Hamzah berkata, tindakan tersebut terpaksa diambil sekiranya kerajaan negeri terus membenarkan pengambilalihan itu dan mahu membina surau di bawah Kompleks Tunku Yaacob tersebut.

“Kita mungkin mempersembahkan rayuan kepada Sultan Kedah selaku Ketua Agama Islam negeri kerana kerajaan negeri ketika ini mengetepikan syiar Islam,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Ahli-ahli kariah dan masyarakat Islam setempat baru-baru ini membantah tindakan kerajaan Pas Kedah mahu merobohkan madrasah itu bagi memberi laluan kepada pembinaan kompleks beli-belah di atas tanah wakaf tersebut.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, madrasah berkenaan bakal digantikan dengan surau baharu yang akan dibina di bawah kompleks berkenaan.

Ahmad berkata, pihaknya akan mempertahankan tanah wakaf itu kerana syarat-syarat yang dikenakan oleh keputusan fatwa Jabatan Mufti didapati dilanggar oleh syarikat pemaju dan kerajaan negeri.

“Keputusan fatwa menyatakan sepatutnya tanah wakaf khas ini diganti menggunakan kaedah istibdal, tetapi sehingga kini tiada tapak tanah yang sesuai dikemukakan oleh pemaju,” jelasnya.

Ahli Jawatankuasa madrasah itu, Ismail Shafie, 71, berkata, pihaknya tidak tahu mengetahui mengenai wang pampasan yang dikatakan telah dibayar oleh kerajaan negeri kepada Majlis Agama Islam Kedah.

“Mereka tidak tahu menghormati ahli kariah kerana tidak pernah ajak kami berbincang dan tiba-tiba sahaja notis pengosongan sampai untuk suruh kami pindah,” jelasnya.

Seorang juruukur bahan, Muhammad Nazri Omar berkata, selaku individu yang terlibat dalam proses pengubahsuaian madrasah itu pada 2 Mei hingga 9 September 2004, beliau marah dan amat kecewa dengan tindakan kerajaan Pas Kedah.

“Ketika hendak mengubah suai dari bangunan papan ke batu, masyarakat Islam terpaksa mencari sumbangan pelbagai pihak untuk mencukupkan belanja RM328,921.30, tetapi hari ini ia hendak dirobohkan untuk dibina kompleks beli-belah,” tegasnya.

Seorang lagi ahli jawatankuasa madrasah itu, Azwan Abdullah, 38, berkata, maruah Islam dan umatnya begitu tercabar dengan keputusan kerajaan negeri merampas tanah wakaf khas itu tanpa mematuhi syarat-syarat keputusan fatwa.

Beliau berkata, masyarakat Islam berasa terhina apabila kerajaan negeri mewartakan pengambilan tanah itu pada 9 Jun 2011 dan disusuli dengan keputusan pindaan fatwa pada 4 Julai 2011 sedangkan fatwa asal pada 21 Jun 2010 memutuskan agar madrasah itu dikekalkan.

“Kalau mengikut turutan tarikh itu, keputusan fatwa terpaksa mengikut warta kerajaan negeri sedangkan sepatutnya kerajaan negeri kena ikut fatwa, bukan sebaliknya,” jelasnya.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar