Senin, 16 Mei 2011

GURU: "PELAJAR DIUTAMAKAN, PENGORBANAN DIRELAKAN"- CIKGU SELAMAT HARI GURU, MAAF ZAHIR DAN BATIN



PERUTUSAN HARI GURU

Bismillahirrahmanirrahim............

Assalamualaikum, salam sejahtera, salam perpaduan, salam 1Malaysia.....

Pertama sekali syukur ke hadrat ALLAH tuhan sekalian alam kerana dengan limpah kurnia, rahmat, perkenan, belas, kasih, dan ehsan-NYA, dapat kita sekali lagi meraikan ulang tahun sambutan Hari guru yang ke-40 dengan tema “GURU PENJANA TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA”. Sesuai dengan tuntutan agama, bahawa pendidikan merupakan suatu perkara asasi yang wajib kepada setiap manusia berpadukan hadis berikut Sabda Rasulullah s.a.w “Menuntut ilmu wajib ke atas setiap muslim”. Riwayat Ibn Majah Sahih oleh al-Albani dalam Sunan Ibn Majah. Dengan ilmu juga dapat meninggikan martabat serta maruah sesuatu bangsa dan negara ke arah yang lebih dihormati serta disegani. Benarlah kata-kata bijak pandai, “Ilmu tanpa amal ialah mati, amal tanpa ilmu gila”. Dalam kita mencari ilmu, tidak cukup kuata sekiranya tidak wujud seorang guru. Tanpa perlu segan dan penuh tawadhuk, kita perlu mengakui tanpa seorang guru siapalah kita?. Tanpa didikan guru mampukah kita menjadi seperti sekarang? Tanpa guru mungkinkah kita dapat mengeja, membaca dan mengira? Dan tanpa guru akan hilanglah segala nikmat zaman sekolah yang pernah kita lalui dulu. Dengan itu, amat wajarlah guru dikhususkan suatu hari seperti hari ini untuk diraikan dengan penuh rasa syukur dan terima kasih kita kepada insan yang bergelar guru ini. Memang benar tiada satu hadis pun yang mengajar kita untuk menyambut hari guru namun banyak hadis yang menyatakan akan kemuliaan insan bergelar guru ini antaranya telah berSabda nabi s.a.w “Bukan umatku sesiapa yang tidak memuliakan orang yang lebih tua, tidak kasihan kepada orang yang lebih muda dan tidak menunaikan hak guru-guru. (riwayat Ahmad, Thabrani dan al-Hakim).

Sebagai seorang guru juga, mereka perlulah memberikan yang terbaik kepada pelanggan mereka iaitu para pelajar. “Pelajar diutamakan, pengorbanan direlakan” perlu disematkan disanubari anda warga pendidik. Para guru perlu insaf bahawa mereka ini memainkan peranan yang berskala majaor dalam mencerakinkan masa hadapan negara ini. Penipuan seperti 'mc' untuk berkempen politik bagi pihak isteri dan beberapa masalah yang dikaitkan dengan warga pendidik telah memalitkan lumpur kepada seluruh mereka yang berada dalam profesion yang mulia ini. Justeru itu, pada hari guru ini juga para guru bukan hanya perlu merasai kemeriahan sambutan, namum memuhasabah semula diri sendiri akan amanah dan tanggungjawab yang telah dipikul selama ini bagi menambah baik perkhidmatan dan berazam untuk memberikan yang terbaik kepada pelajar.

Sebagai penutup KPS sampaikan sebuah sajak yang sebar kepada semua guru di seluruh dunia.


Guru oh Guru

Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Ibarat bunga kembang tak jadi.

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum menjadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di lbu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakill seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Usman Awang
1979

Sekian, selamat hari guru. Jasa mu tetap ku kenang dulu, kini dan selamanya.

KPS: SELAMAT HARI GURU MAAF ZAHIR DAN BATIN. KPS TABIK SEMUA GURU. ANDA YANG TERBAIK.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar