Minggu, 29 Juli 2012

ADA PEMIMPIN AGAMA MOHON UNDI PARTI YANG BOLEH SEBARKAN AGAMA SELAIN ISLAM

VERSI BAHASA MELAYU ADALAH SEPERTI DI BAWAH......
CHRISTIAN FEDERATION OF MALAYSIA (PERSEKUTUAN KRISTIAN MALAYSIA) Address: 10, Jalan 11/9, Section 11, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia Telephone: (03) 7957 1278, (03) 7957 1463, Fax: (03) 7957 1457 Email: cfmsia@yahoo.co.uk 18hb Julai 2012 SURAT DARI PERSEKUTUAN KRISTIAN MALAYSIA (CFM) KEPADA GEREJA-GEREJA DAN UMAT KRISTIAN MALAYSIA BERKAITAN PILIHANRAYA UMUM KE-13 YANG AKAN DATANG UNDILAH DENGAN BIJAK UNDI SUPAYA NEGARA MALAYSIA LEBIH CEMERLANG Bila kita merujuk kepada dua bab pertama di dalam Buku Kejadian (Genesis) iaitu buku pertama Perjanjian Lama, kita membaca mengenai dua kejadian berbeza di mana Tuhan memberikan segala kuasa dan hak pemerintahan ke atas seluruh dunia termasuk semua hidupan kepada Adam. Di dalam buku pertama daripada Perjanjian Baru iaitu Injil Matius, bab kelima, ayat 13 hingga 15, umat Kristian diberitahu bahawa merekalah garam bumi dan cahaya dunia. Kedua-dua petikan tersebut dan mesej keseluruhan di dalam Kitab Suci menunjukkan satu kesimpulan yang tidak boleh dinafikan, iaitu umat Kristian mempunyai tugas untuk melindung dan mempertahankan dunia serta semua kehidupan di atas permukaannya. Umat Kristian bukan sahaja diberikan hak sebagai pemimpin, tetapi juga tanggungjawab sebagai pelindung di dalam dunia ini. Dalam konteks negara dan bangsa, umat Kristian telah diberikan hak-hak tertentu untuk menyertai proses demokrasi sesebuah Negara sebagai rakyat sama seperti warganegara yang lain. Hak untuk menyertai proses pelaksanaan tanggungjawab tersebut perlu diimbangi dengan melakukan perkara-perkara yang sepatutnya dengan bijaksana. Oleh demikian, Persekutuan Kristian Malaysia menjemput dan menggalakkan umat Kristian supaya menyedari hak-hak politik mereka iaitu hak untuk mengundi dan menggunakan kuasa mengundi mereka untuk memilih sebuah kerajaan yang akan menjamin keadilan yang saksama dan kesejahteraan rakyat dan Negara. Persekutuan Kristian Malaysia tidak bermotivasikan politik mahupun menyokong mana-mana satu parti politik. Tindakan melaksanakan hak mengundi oleh para rakyat adalah hak asasi terpenting dalam pemerintahan demokrasi. Hak mengundi yang dimiliki dan tidak digunakan boleh membawa padah. Tindakan mengundi memastikan setiap
warganegara mengambil bahagian dalam mewujudkan Negara Malaysia yang lebih adil dan saksama untuk generasi masa kini dan yang akan datang. Oleh itu, sebagai umat Kristian, adalah penting kita menjalankan tugas sebagai warganegara dengan melaksanakan hak mengundi kita dan menyuarakan pilihan kita akan sebuah gabungan politik yang bertekad mencapai Visi kita untuk memastikan negara Malaysia jauh lebih maju. Dari segi Visi kita supaya Negara Malaysia semakin maju, PKM menggalakkan agar setiap Umat Kristian di Malaysia memikirkan mengenai perkara-perkara terpenting berikut: ● Sebuah negara yang mengamalkan etika asas iaitu menghormati martabat manusia. Ini bererti sebuah Negara di mana rakyatnya dilayani dengan saksama dan hak-hak mereka dihormati menurut peruntukan yang terjamin di bawah Perlembagaan Persekutuan. Negara sebegitu akan memperlakukan rakyatnya dengan persefahaman, kejujuran dan sifat saling hormat-menghormati. ● Sebuah negara di mana semua jenis fahaman dan tindakan melampau disingkirkan dan segera dikawal. Ketaksuban bangsa dan agama, manipulasi dan penipuan yang kini semakin berleluasa dari segi sosial, media cetak dan politik perlulah dihentikan serta-merta. ● Sebuah negara yang bebas dari rasuah dengan memastikan institusiinstitusi Negara dan awam diperkemaskinikan supaya ahli-ahlinya menjalankan tugas dengan penuh integriti, ketelusan dan tanggungjawab. ● Sebuah negara yang berusaha ke arah pengagihan kekayaan secara saksama dan memastikan kesejahteraan semua lapisan masyarakat tanpa mengira status kerakyatan, suku kaum atau perbezaan dalam kepercayaan. Setiap rakyat dan komuniti harus diberikan kuasa dan dibenarkan untuk menjalankan kegiatan ekonomi dan mencapai kemajuan yang sepatutnya dan diberikan sokongan adil kerajaan apabila perlu tanpa sebarang pilih kasih atau diskriminasi dan tanpa sokongan yang tidak adil atau keterlaluan daripada kerajaan negeri. ● Sebuah negara di mana keprihatinan terhadap alam sekitar diberi keutamaan berbanding kapitalisme yang mementingkan keuntungan peribadi dan para pemimpin politik yang membuat keputusan untuk mengutamakan ekologi dan kemampanannya sebagai unsur dan aspek penting dalam pembangunan. ● Sebuah negara di mana bahasa dan pendidikan tidak berhubungkait dengan matlamat dan pengaruh politik.
Sebuah negara di mana kewujudan elitisme dan kadar ketidakadilan tidak berleluasa dan setiap orang diiktiraf dan dihormati sebagai seorang insan dan mereka tidak mengalami diskriminasi akibat perbezaan dari segi kedudukan sosial, tahap pendidikan, kepercayaan politik, jantina, bangsa mahupun agama. ● Sebuah negara di mana kebebasan agama merangkumi kebebasan untuk menganut, mengamal dan menyebarkan agama di mana ia dibenarkan berkembang tanpa sebarang pembatasan yang tidak wajar dari undangundang, penegahan ataupun larangan. Persekutuan Kristian Malaysia menggalakkan umat Kristian berdoa agar pemimpin-pemimpin yang mulia akan muncul dari pilihanraya umum ini yang akan memenuhi kriteria di atas, dan juga meletakkan kepentingan negara kita yang tercinta dan khidmat kepada para rakyatnya sebagai matlamat utama mereka. Warga Malaysia pada masa kini lebih berpelajaran, peka terhadap perubahan politik dan sosial serta sering bergerak dari satu tempat ke tempat lain dari segi geografi berbanding masa-masa lain dalam sejarah kita. Faktor-faktor ini telah melahirkan golongan rakyat yang lebih berpengetahuan dan berpengalaman. Gereja-gereja juga mempunyai tanggungjawab untuk membimbing kongregasi mereka agar menggunakan kearifan mereka dalam menjalankan tugas dan hak mereka untuk mengundi supaya negara berubah dan semua warga Malaysia serta golongan yang memilih untuk tinggal di negara ini dapat terus maju serta menikmati keharmonian, kemakmuran, keamanan dan keadilan. Semoga limpah kurnia dan keamanan dari Tuhan sentiasa berada bersama anda.
Uskup Datuk Ng Moon Hing Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Kristian Malaysia

Tidak ada komentar:

Posting Komentar