Bila BERSIH bertukar JIJIK (Sinar Harian 7 Mei 2012) Demonstrasi jalanan duduk bantah, Bersih 3.0 minggu lalu telahpun berakhir. Janji duduk bantah tidak lagi lagi dipatuhi, yang jelas ramai yang berdiri memberi isyarat, berjalan, berlari, membuat kacau bilau dan lari. Sama ada mencapai matlamatnya atau tidak, itu sudah tidak penting. Apa yang lebih penting adalah kesan yang ditinggalkan. Pada kumpulan ini, sudah tentu mendakwa tindakan ‘paling berjaya’. Mereka merancang meneruskan Bersih 4.0. Apapun Bersih sudah tidak lagi bersih, tetapi amat menjijikkan. Gelagat pemimpin-pemimpin ultra kiasu laksana jaguh kampung. Lebih melucukan, mereka mendakwa lebih 300,000 telah keluar menyertai perhimpunan tersebut. Wah! Hebatnya. Perlakuan yang baik-baik semuanya mereka. Manakala aksi yang buruk dan provokasi pada mereka, adalah tindakan pihak tertentu, terutama yang dirujuk di sini adalah Umno. Pendek kata, ultra kiasu Bersih adalah betul, yang salah adalah pihak berkuasa (polis) dan Umno. Maklumlah, siapa nak mengaku berak tengah jalan. Inilah politik desperado, mereka yang ingin menguasai Putrajaya. Pemimpin inikah yang kita harapkan memimpin negara? Golongan ini mengatakan demokrasi telah mati di Malaysia. Kerajaan bertindak kejam seperti Hitler dan Stalin. Apakah yang dimaksudkan demokrasi? Adakah demokrasi bermakna mengikuti semua yang diamalkan di barat tanpa ubah suai mengikut acuan kita? Adakah demokrasi semuanya benar? Adakah "Gay, Lesbian, Bisexual, Transgender" (LGBT) dibolehkah atas nama demokrasi? Jika begitu keadaannya, akidah kita sudah tergelincir. Sekadar suka dengan amalan tersebut, saya tidaklah hairan. Tetapi untuk menghalalkannya, jangan sama sekali. Inilah sifat ultra kiasu Melayu yang mengaku Islam. Beliau juga mendakwa ahli Bersih terlibat begitu berdisiplin, mendengar arahan dan patuh kepada cakap ketua. Bagaimana penilaian dibuat? Hebat sangatkah kepemimpinan beliau sehingga boleh mengawal keadaan yang kelam kabut itu? Bolehkah arahannya dipatuhi? Apakah jaminan peserta demonstrasi tidak merempuh pagar kawat duri polis yang dipasang di sekeliling Dataran Merdeka? Adakah wajar mereka ditinggalkan begitu sahaja selepas menunjukkan muka seketika? Nampak sangat kita pengecut, kerana takut dipersalahkan jika berlaku apa-apa. Selepas itu, mudahlah bagi kita menuding jari dan menyalahkan orang lain. Sepatutnya sebagai pemimpin yang baik, kita sepatutnya berada di sana sehingga demonstrasi selesai. Apa yang saya lihat, kebanyakan pemimpin mereka datang sebentar sahaja, menunjukkan muka, memberi isyarat, selepas itu, lari, menghilangkan diri. Bayangkan selepas itu, berlaku perkara yang tidak diingini, siapakah yang memberi arahan dan meleraikan suasana kelam kabut tersebut kalau bukan pihak berkuasa? Insiden yang sama berlaku ke atas Dewan Pemuda PAS yang menuntut akhbar Sinar Harian meminta maaf dan menarik balik laporan yang mendakwa anggota Unit Amal menyerbu ke arah pihak polis semasa perhimpunan di luar Kuala Lumpur City Centre. Mereka menyifatkan tindakan tersebut sebagai “tidak munasabah”. Rekod Unit Amal, dakwanya begitu ‘bersih’ selama ini. Pada mereka, tidak masuk akal dan tidak munasabah untuk mempercayai bahawa mereka akan menggunakan kekerasan dan menyerbu pihak polis. Pendek kata, wartawan salah, mereka yang betul. Sedangkan wartawan Sinar Harian sudah terkenal dengan integriti dan ketelusannya. Persoalannya, bukan soal rekod, munasabah atau tidak, tetapi keadaan yang berlaku ketika itu. Hebat sangatkah unit amal boleh mengawal keadaan yang tidak tentu keruan? Unit Amal bukannya malaikat. Mereka juga adalah manusia. Apakah mungkin mereka tidak melakukan kesalahan? Persepsi golongan ini terhadap polis sudah negatif sejak awal? Bila diperlukan kita puji polis. Bila dalam begini, kita hina, kutuk dan lawan mereka. Adakah ini wajar? Pada saya, perhimpunan tersebut akan menjadi lebih teratur jika diadakan tempat tertutup seperti di stadium atau lokasi negeri yang diperintah oleh ultra kiasu. Kenapa mereka tidak mahu dan berkeras? Jawapannya, dengan berada di jalanan, menampakkan seolah-olah mereka ramai kerana orang awam turut berada di situ untuk melihat gelagat mereka. Mereka mahu publisiti murahan. Takut-takut nanti tidak ramai, ada yang akan mendakwa demonstrasi itu tidak berjaya. Justeru itu, mereka begitu beriya-iya agar ianya berlaku di jalanan. Janganlah terlalu obsess dengan kejayaan rakyat Mesir yang berhimpun di Dataran Tahrir. Budaya Arab berbeza dengan budaya Melayu atau rakyat negara kita. Lagipun, rakyat Mesir menentang regim yang zalim. Perjuangannya sangat jelas. Tidak hairanlah jika ada yang ‘mati syahid’ sekalipun. Adakah keadaan sama Malaysia seperti itu? Kita bersekongkol dalam demonstrasi tersebut, dengan pemimpin-pemimpin salah laku dan melakukan pengkhianatan terhadap Islam. Isu pendaftaran pemilih (SPR) adalah alat sahaja. Matlamat mereka adalah untuk meraih simpati, menunjukkan kehebatan dalam usaha menawan Putrajaya. Selaku ahli akademik yang pernah mengkaji peranan dan fungsi SPR, dahulu saya memang tidak nafikan ada banyak kelemahan SPR. Hari ini, SPR sudah banyak berubah. Penambaikan begitu ketara. Soal sama ada pemimpin-pemimpin SPR adalah ahli Umno atau tidak, bukan soalnya. Ramai penjawat awam di negeri-negeri Pakatan Rakyat menjadi ahli parti mereka, kenapa tidak dipertikaikan? Bagaimana dengan kredibiliti mereka? Adakah mereka tidak bias dalam membuat keputusan? Pada saya, menjadi ahli parti tidak salah, selagi mana penjawat awam tersebut ada sifat takutkan Allah. Menurut rakan facebook saya, hari ini rakyat diajar demonstrasi lawan kerajaan. Esok lusa, akan ada demonstrasi lawan mereka yang memperkenalkan budaya demonstrasi jalanan ini. Mereka takkan dapat duduk selesa dengan ajaran dan anjuran mereka sendiri. Pasti akan makan tuan. Saya harap rakyat tidak terpengaruh dengan cakap tidak serupa bikin golongan ultra kiasu Melayu dan bukan Melayu ini. Saya masih teringat dalam rancangan Bicara Rakyat TV1, bertarikh 30 Mac 2012, Ketua Angkatan Muda Keadilan, berkata jika mahu mati, matilah di Selangor, akan dapat RM3000 wang khairat kematian. Ibu saya baharu sahaja meninggal pada 29 Februari yang lalu, di Ampang, Selangor. Begitu juga adik ipar saya. Saya tidak nampakpun sejumlah wang disebutkan, hatta satu sen pun tidak ada. Bolehkah orang ini dipercayai dan dipatuhi arahannya? Jijik sungguh.
Senin, 07 Mei 2012
BILA BERSIH BERTUKAR JIJIK- RIDHUAN TEE
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar