Rabu, 18 April 2012

KENYATAAN PRESIDEN JATI.....DR. HASAN ALI DALAM ISU PEMIMPIN PR HINA RAJA




SAYA ingin mengulas tentang satu berita yang dilaporkan oleh Dr Rahman Kadir, seorang pengamal perubatan tentang tindakan mengejek dan mempersenda pimpinan Negara termasuk Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan-Sultan dan Yang Dipertua Negeri oleh beberapa tokoh ahli parlimen pembangkang ketika upacara pertabalan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong pada 11 April yang lalu.
Saya menyambut baik cadangan untuk menubuhkan badan penyiasat bagi menyiasat peristiwa yang mencacatkan upacara pertabalan tersebut sehingga ada pihak mencadangkan supaya ditubuhkan Suruhanjaya Di Raja untuk menyiasat insiden yang berlaku. Ini menggambarkan seriusnya perkara yang berlaku dari kaca mata berbagai pihak termasuk rakyat di Negara ini.
Bagi saya insiden tersebut sekiranya benar-benar berlaku seperti yang dilaporkan adalah sesuatu yang tidak memeranjatkan. Setakat yang saya mengenali individu-individu yang terlibat, mereka memang mempunyai kecenderungan untuk melakukan perkara-perkara yang sukar diterima akal. Ini mungkin hasil dari desakan parti yang mereka wakili dan beberapa golongan di dalam parti masing-masing yang memandang remeh terhadap Institusi Raja. Saya tidak perlu menoleh ke belakang untuk memaparkan insiden-insiden hitam yang pernah berlaku di Perak dan Negeri Selangor.
Selama ini mereka juga berbicara mengenai ketaatan kepada raja yang memerintah. Jelas daripada insiden tersebut sekiranya berlaku, ketaatan yang mereka laungkan tidak lebih daripada satu pengucapan yang tidak mempunyai banyak kerti. Di hadapan masyarakat Melayu mereka berhujah tentang kepentingan institusi raja tetapi yang tersembunyi dihati mereka sebenarnya ialah apa yang dipertontonkan dalam peristiwa pertabalan itu.
Saya dapat merasakan betapa tersinggungnya pihak-pihak yang terlibat yang merupakan golongan yang selama ini dimuliakan dengan berbagai cara yang disusun oleh orang-orang terdahulu. Saya juga dapat merasakan betapa kecewanya rakyat Negara ini mendengar tentang insiden tersebut lantaran rata-ratanya rakyat memahami kedudukan Insitusi Raja dalam Perlembagaan Persekutuan serta apa yang boleh dilakukan oleh institusi tersebut dalam menjamin keutuhan negara.
Tindakan beberapa pemimpin pembangkang itu (sekiranya berlaku) sesungguhnya merupakan satu tindakan yang keji dan tidak sepatutunya dilakukan oleh mereka yang dipilih oleh rakyat yang sepatutnya menjadi juru bicara kepada mereka. Sayangnya semata-mata atas kepentingan politik yang tidak matang maka ahli-ahli parlimen yang terlibat itu sanggup bertindak sedemikian dengan disaksikan seribu tetamu pilihan termasuk wakil-wakil Negara asing.
Jika benar seperti yang dilaporkan, di mana kewajaran ahli parlimen pambangkang tersebut sehingga sanggup memperleceh, memperlekeh dan menghina pimpinan tertinggi negara dan batang tubuh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan-Sultan dan Yang Di Pertua Negeri. Saya juga tertanya-tanya tentang darjah kesiuman pemimpin pembangkang tersebut yang seolah-olah lupa siapa diri mereka, dalam maji sapa mereka berada dan siapa yang memerhatikan mereka.
Saya yakin cuti upacara khas pertabalan telah membuka ruang kepada segenap lapisan masyarakat tua dan muda termasuk kanak-kanak berada di hadapan kaca tv untuk menyaksikan peristiwa yang bersejarah tersebut. Mereka dapat menyaksikan betapa syahdunya majis tersebut. Mereka juga dapat menyaksikan unsur agama Islam yang jelas terpancar dari awal hingga ke akhir di sepanjang upacara pertabalan. Dalam suasana itu tiba-tiba timbul cerita ada dari kalangan mereka yang terpelajar, terdidik dan ternama melakukan perbuatan sumbang yang sudah tentu mencacatkan upacara yang diadakan dan sekaligus membabitkan maruah negara.
Bagi saya pendek benar akal dan pemikiran ahli Parlimen yang terlibat. Bagi saya juga golongan seperti ini tidak harus diberi tempat menghadiri majlis-majlis rasmi kerana kegagalan mereka mengawal diri dan menunjukkan akhlak terpuji standing dengan kedudukan mereka di mata rakyat.
Di sebaliknya, saya menyetujui saranan pihak-pihak tertentu termasuk badan-badan bukan kerajaan dan rakyat yang prihatin untuk menyiasat sedalam-dalamnya peristiwa ini. Saya juga dengan sukacita menyeru supaya insiden ini tidak dibenarkan berlalutan padanya tindakan drastic dari pada pihak yang berkuasa. Manusia seperti ini tidak sepatutnya menjadi pilihan rakyat.
Saya tidak dapat menggambarkan seandainya ditakdirkan mereka menguasai Putrajaya, bayangkan pajenis budaya yang mereka akan cernakan untuk masyarakat Malaysia terutamanya di pihak generasi pengganti. Saya berharap rakyat Malaysia tidak memperjudikan masa hadapan mereka. Insiden yang dilaporkan berlaku sebenarnya bukan insiden yang isolated, tetapi inilahbrand budaya baru yang akan mereka terapkan.
Akhirnya saya mengambil kesempatan ini mengucapkan syabas kepada Dr Rahman Kadir yang telah menimbulkan perkara ini. Saya percaya atas kesedaran sivik yang tinggi doktor perubatan tersebut telah keluar daripada lingkungan perubatan yang dipertanggungjawabkan untuk memaparkan peristiwa hitam yang berlaku kerana bagi beliau perkara tersebut bukan sesuatu yang kecil dan remeh sebagaimana yang didakwa oleh mereka yang terlibat. Remehkah sesuatu yang berkait langsung dengan sistem pemerintahan negara? Remehkah insiden yang berlaku itu jika ditinjau dari sudut keberlangsungan sistem Raja Berperlembagan? Akhirnya remehkah insiden itu untuk dibiarkan berlalu begitu sahaja sedangkan upacara itu adalah sebahagian daripada “the pride of the nation”?
* Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, Presiden Jati

Tidak ada komentar:

Posting Komentar