Oleh SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH
pengarang@utusan.com.my
PUTRAJAYA 8 Nov. - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mempersoalkan tujuan sebenar DAP mahu mengurangkan bilangan penjawat awam tanpa memikirkan implikasi besar yang akan berlaku kepada negara pada masa hadapan.
Ketua Pengarahnya, Tan Sri Abu Bakar Abdullah berkata, jumlah penjawat awam yang sedang berkhidmat sekarang adalah ideal dengan nisbah penduduk negara ini.
Katanya, jika cadangan tersebut dilaksanakan, ia akan memberi kesan kepada kerajaan dalam proses penyampaian perkhidmatan terutamanya dalam bidang kritikal.
"Bila bilangan penduduk negara makin bertambah maka perkhidmatan awam juga seharusnya wajib ada dan mencukupi. Sebagai contoh doktor, tidak mungkin kita hendak kurangkan bilangan mereka.
"Jadi bila mereka kata nak kurangkan penjawat awam yang mana satu hendak dikurangkan? Tentera? Polis? Guru? Doktor atau yang mana satu?" soalnya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua baru-baru ini untuk mengurangkan kakitangan awam sekiranya dipilih sebagai pemerintah negara.
Kenyataan tersebut mendapat reaksi daripada pelbagai pihak yang menyifatkan ia mengukuhkan dakwaan bahawa parti itu tidak selesa dengan penguasaan orang Melayu dalam sesuatu bidang.
Menurut Abu Bakar, DAP juga tidak perlu risau mengenai pertindihan bidang tugas sesebuah jabatan atau pun agensi kerajaan kerana pihaknya sentiasa memantau dan membaiki keadaan tersebut.
"Sekarang kita sedang lakukan kajian di mana terdapat pertindihan tugas dan fungsi tugas akan diselaraskan namun, ia tetap mengambil masa untuk dilaksanakan sepenuhnya.
"Misalnya kita tidak tambah bilangan polis untuk kerja-kerja pengurusan sebaliknya pelantikan diambil daripada penjawat awam," katanya
Adakah DAP mahu biar rakyat menganggur?
KUALA LUMPUR 8 Nov. - Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman berkata, hasrat DAP yang mahu mengurangkan penjawat awam sebagai langkah mahu 'menjimatkan' wang kerajaan bukanlah satu tindakan bijak, malah ia tidak realistik.
Menurut Omar, apa yang mereka mahu lakukan itu membuktikan pemikiran barisan pemimpin DAP bersifat jumud dan jauh ke belakang.
"Saya tidak faham mengapa DAP cenderung mempolitikkan semua perkara termasuklah isu tersebut walaupun hakikatnya, sektor awam adalah nadi penggerak negara," katanya pada sidang akhbar di Panggung Percubaan, Universiti Putra Malaysia (UPM) dekat sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Penerangan DAP, Tony Pua dalam sebuah akhbar berbahasa Cina tentang cadangan kerajaan DAP mahu mengurangkan penjawat awam dan menamatkan perkhidmatan kakitangan yang tidak efisien seperti yang dilakukan kerajaan China bagi mengurangkan bajet kerajaan.
Menurut Omar, jika DAP benar-benar parti yang jitu untuk membangunkan dan mentadbir negara, mereka perlu mengutamakan hal ehwal kebajikan penjawat awam, bukannya membuat rakyat derita dengan 'menghadiahkan' status penganggur kepada mereka.
"Ini membuktikan DAP sebuah parti yang cakap tak serupa bikin. Bersifat menakutkan rakyat, bukannya mahu mendekati mereka.
"Bagaimana parti itu mahu mentadbir kerajaan kelak, sedangkan rakyat takut dengan tindak-tanduk mereka yang tidak masuk akal," tambah beliau.
Dalam pada itu, Omar turut menuntut agar DAP menjelaskan apa pula tindakan mereka bagi membantu penjawat awam yang ditamatkan perkidmatan.
"Adakah mereka dibiarkan menganggur begitu sahaja tanpa dibimbing untuk mencari kerja lain sedangkan pada masa yang sama, mahukan Malaysia menjadi salah sebuah negara yang berpendapatan tinggi?" soalnya.
Sementara itu, Omar memberitahu, CUEPACS akan menjelajah ke seluruh negara untuk menerangkan mengenai skim baru perkhidmatan awam yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika Bajet 2012 baru-baru ini.
Omar berharap, langkah CUEPACS itu mampu meningkatkan kesedaran sekali gus meningkatkan produktiviti penjawat awam dari semasa ke semasa.
"Sektor awam di negara ini diakui berada di tahap terbaik antara negara-negara Asia serta dunia dan ranking itu tidak wajar dimusnahkan angkara ideologi politik DAP yang mundur," tegas beliau.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar