Ibrahim Ali tarik perhatian
KOTA BHARU 12 Nov. - Kehadiran Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali pada Majlis Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat sempena Hari Keputeraan Sultan Muhammad V di Istana Balai Besar dekat sini hari ini telah menarik perhatian ramai.
Ini kerana, Istana Kelantan pada 13 Oktober tahun lalu telah menarik balik gelaran 'Datuk' yang dikurniakan kepada Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) itu .
Sehubungan itu, kehadiran Ibrahim yang segak berbaju istiadat berwarna krim dan mengenakan selempang merah serta darjah kebesaran tersemat di dada itu, sedikit sebanyak menimbulkan persoalan kepada banyak pihak.
Ibrahim ketika ditanya beliau hadir atas kapasiti apa pada majlis itu memberitahu, beliau hadir sebagai memenuhi jemputan Istana Kelantan yang menghantar surat ke pejabatnya, minggu lalu.
Jelasnya, beliau hadir sebagai menghormati jemputan dan lagi pun beliau tidak marah dengan apa yang berlaku sebelum ini.
"Bila dijemput, saya datang, sebab taat setia saya kepada raja adalah 100 peratus. Oleh itu apa pun saya tidak kisah dan saya amat menghargai apabila dijemput ke majlis ini," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Ibrahim menegaskan, kesetiaannya yang tidak berbelah bahagi kepada Sultan Kelantan dan raja-raja Melayu adalah selaras dengan prinsip perjuangan Perkasa.
"Saya tidak ambil kisah soal saya dilucut anugerah yang diberikan, sebab taat setia saya kepada sultan tidak berbelah bagi dan saya tidak persoalkan apa yang berlaku selama ini," jelas beliau.
Pages
▼
Tidak ada komentar:
Posting Komentar