Sabtu, 12 November 2011

EDISI ULANG SIAR : 1MALAYSIA YANG BERBEZA DENGAN MALAYSIAN MALAYSIA


EDISI ULANG SIAR.....KPS AKAN MENYIARKAN SEMULA PENDAPAT KPS SECARA PERIBADI TENTANG 1MALAYSIA. RAMAI YANG MASIH TIDAK FAHAM ATAU SENGAJA BUAT-BUAT TAK FAHAM DENGAN MENYAMAKAN KONSEP 1MALAYSIA DENGAN KONSEP MALAYSIAN MALAYSIA. JADI, KESEMPATAN INI KPS AMBIL PELUANG UNTUK JELASKAN DENGAN CARA YANG TERSENDIRI....


NOTA: MUNGKIN AKAN ADA KESALAHAN EJAAN DAN PENGGUNAAN TATABAHASA KERANA PENULISAN INI ADALAH SPONTAN DAN BERTERUSAN DALAM MASA BEBERAPA JAM SEORANG DIRI MENAIP.



1MALAYSIA: TRANSFORMASI BANGSA GLOKAL BERJENAMA GLOBAL.


Setelah kita mengatasi perjalanan sejauh lima dekad usia kemerdekaan, melangkaui hampir 47 tahun sesama kita tidak kira di utara, selatan, timur dan barat dijenamakan sebagai warganegara Malaysia, mengapa masih ada yang fobia dengan pencapaian ini justeru sanggup menconteng arang dengan mencipta seribu macam kebobrokkan 'bumi bertuah' ini dengan pelbagai mitos kekhilafan tanah tumpah darah ini kepada negara penjajah di seberang laut? Sebelum terlerai roh perjuangan yang besar, marilah kita tanpa ada rasa kesangsian bersama dengan gagasan 1Malaysia bermutasi secara tranformasi untuk bergerak dalam saf yang sama, berlagu dalam nada yang serupa, serta bermimpi dengan cerita yang selari skripnya. Ungkapkan dalam diri setiap kita “Hujan emas di negeri orang, hujan keris lembing di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri. Biar hina, andai masih jauh kebelakang, hatta penuh selut dan lumpur mahupun terpahat calaran sejarah yang nan hitam, ia tetap tanah tumpah darahku. Tiada dua atau tiga, langsung tiada reformasi pada kedaulatan perlembagaannya yang luhur kerana hanya wujud satu di dunia, Malaysia bumi bertuah sejak dulu, sehingga kini, bahkan untuk selamanya.”
Justeru pada kecenderungan itu, bagi melahirkan modal insan kelas pertama bertunjangkan tenaga tempatan bertaraf global, rakyat secara total perlu melepasi sempadan perbezaan warna kulit, memahami juga saling menghormati warna-warni kebudayaan yang pelbagai, tutur kata yang bermacam sebutan serta tulisan yang berjuta bentuk ragam. Sebagai terjemahannya, kita perlu mengkaji falsafah di sebalik zahirnya sepasukan pengakap kanak-kanak seramai 31 orang bersedia memperaga pelbagai disiplin gerakkan kawad dalam suatu pertandingan. Hadirin di luar gelanggang mula mempersoalkan kewibawaan 'wira-wira kecil' di tengah gelanggang tersebut dengan beribu andaian. Apakah mereka yang baru setahun jagung itu mampu untuk bersatu dalam melakukan pelbagai disiplin gerakan yang memerlukan ketepatan sedangkan orang dewasa pun tidak bersatu malah bertelagah dalam perkara yang lebih asas? Mampukah mereka 30 orang itu menumpahkan sepenuh kesetiaan kepada seorang ketua padahal mereka dilahirkan oleh 30 orang ibu yang berbeza, tambahan pula setiap mereka dikandungkan di dalam 30 rahim yang berlainan? Orang dewasa pun sanggup berdemonstrasi di jalanan semata-mata ingin menyatakan protes kepada kerajaan yang telah dipilih oleh majoriti daripada mereka. Apakah sudah wujud titik persamaan di hati 31 orang anak kecil ini untuk melengkapkan pelbagai paksi gerakkan semasa melakukan formasi dengan peranan sendiri tanpa dihasut oleh perbezaan warna kulit, berlainan akidah serta rumpun budaya yang kontra? Dengan berpegang kepada semangat 1Malaysia, tersemat kukuh di hati sanubari mereka tiada perbezaan melalui uniform yang mereka gunakan adalah seragam, arahan ketua adalah tanggungjawab tidak sebagai beban untuk diderhakai, dan paling utama, mereka bukannya ingin dilihat sebagai individu tetapi sebagai satu pasukan yang bergerak serta melangkah secara bersama dalam merealisasikan formasi berpasukan.
Semangat 1Malaysia bukanlah sesuatu yang baru, ia lebih kepada kesinambungan yang diwarisi setiap pemimpin tertinggi negara secara konsisten sejak negara ini digelar tanah melayu lagi. Tranformasi negara yang sebenar dalam semangat 1Malaysia ialah keadaan dimana kaum yang bukan asal dari tanah melayu mendapat kerakyatan negara ini disamping mereka menerima hak istimewa penduduk asal negara ini dalam beberapa perkara dengan semangat muhibah. Perkara ini boleh diterjemahkan sebagai sebuah rumah yang mempunyai keluarga yang besar, mereka bersama-sama menjaga keharmonian rumah tersebut dengan “berdiri sama tinggi, duduk sama rendah”. Di samping itu juga hak abang sulong dalam keluarga tersebut dalam sesetengah perkara tidak perlu dipersoalkan kerana beliau lebih berhak bagi menstabilkan keadaan isi rumah keluarga tersebut. Seluruh warga negara ini seharusnya menghayati keadaan kepelbagaian ini dengan penuh cermat bagi menzahirkan jiwa 1 bangsa di 1 negara tanpa mengugat hak masing-masing yang telah termaktub dalam perlembagaan persekutuan berlandaskan nilai-nilai rukun negara yang lima.
Melalui prinsip penerimaan dalam konsep rukun negara, seluruh masyarakat majmuk di negara Malaysia ini harus mencari suatu titik persamaan, bukan melebarkan lagi jurang perbezaan yang sedia wujud. Ini jelas dalam dalam amanat Perdana Menteri Malaysia yang kedua, “Adalah tidak mustahil pendapat dan fahaman kita yang berbeza itu dipebesar-besarkan sehingga membawa pecah-belah di kalangan rakyat yang berbilang keturunan.” Asas prinsip penerimaan dalam konsep 1Malaysia ini sekiranya dijiwai pasti akan mengelakkan terus prototaip seperti pergolakkan di bumi asing yang boleh menjurus kepada perang saudara yang mengorbankan nyawa, rusahan jalanan yang menekan kestabilan ekonomi disamping 'memijak' imej negara diperingkat dunia sebagai sasaran propaganda media asing yang memberi laporan berat sebelah yang menjurus kepada gagalnya penyatuan rakyat berbilang kaum di negara sendiri.
Prinsip kenegaraan yang terkandung dalam gagasan 1Malaysia berkehendakan seluruh warga bersatu padu membangunkan ekonomi tanpa mempertikai hak keistimewaan bumiputera. Tunku Abdul Rahman dalam ucapannya menyebut “Orang melayu, orang cina, india serta lain-lain kaum yang hendak menumpukan taat setia dan tinggal bersama serta menumpukan dan menumpahkan darah serta berkerja membanting tulang di negeri ini, tinggal dengan baik di antara satu sama lain kerana negeri ini adalah berlainan dengan mana-mana negeri yang ada di dunia ini.” Tegaslah di sini, unsur provokasi atas nama hak asasi manusia mahupun keadilan sosial seperti tuntutan yang keterlaluan serta tidak berasas perlu dihindari kerana “api dalam sekam tidak nampak, namum bara tetap menyala.” Pepecahan secara halus mungkin terjadi hinggakan tidak dapat dikesan oleh keadaan.
Tun Abdul Razak pernah berkata “Kita jangan hanya berfikir apa yang kita akan dapat dari kerajaan dan negara, sebaliknya apa yang kita sumbangkan kepada negara.” Nilai ketabahan penting disematkan kepada warga Malaysia kerana ia mampu menzahirkan sesuatu yang positif. Dengan mempunyai nilai ketabahan ini sejarah telah melakarkan Parameswara berjaya menjadikan sebuah perkampungan nelayan menjadi sebuah Empayar Melayu yang ulung. Oleh itu, pemikiran yang positif dapat terhasil seterusnya rakyat dapat merasionalkan kegagalan supaya dineutralkan lalu memanipulasikan kegagalan tersebut ke dalam bentuk pendekatan yang berbeza dan kretaif pada masa akan datang.
Nilai seterusnya ialah membudayakan kecemerlangan kerana kejayaan atau kemunduran sesebuah negara bergantung kepada budaya kecemerlanagn yang dipraktikkan oleh masyarakatnya. Dasar pandang ke timur yang diilhamkan oleh Tun Dr. Mahathir supaya rakyat negara ini mengasimilasi semangat kuat bekerja, kreatif serta inovatif dan bersungguh-sungguh ke dalam budaya kerja tempatan supaya lebih produktif bagi menjana ekonomi serta kemajuan negara ini seperti kata Tun Abdul Razak “Kemajuan negara bergantung kepada apa yang disumbangkan oleh rakyat.”
Nilai yang kelima ialah rendah hati. Ini bermaksud kita hendaklah menzahirkan kelebihan yang dimiliki secara munasabah supaya tidak mengundang cacian masyarakat. Merendah diri adalah bertempat yang tidak bermaksud kita tunduk atau mengalah kepada pihak lain tetapi lebih menjurus kepada untuk menampakkan budaya timur yang sopan dan dalam jangka masa yang sama tetap teguh pendirian dan mempunyai jiwa yang besar tanpa dapat diganggu-gugat. Rakyat perlu mengamalkan nilai ini apabila ke luar negara degan membawa perasaan bangga menjadi rakyat Malaysia tanpa segan untuk menyatakan kita sebagai rakyat Malaysia tetapi bukan dalam bentuk yang negatif seperti penindasan atau kekerasan. Pepatah melayu menyatakan “Ikut resminya padi, makin berisi makin menunduk.” dan “ular menyusur akar tidak akan hilang bisa.” Sebagai contohnya, seluruh warga pemimpin sama ada diperingkat rendah hinggalah ke peringkat tertinggi perlu mengamalkan sikap 'tawadhuk' iaitu sikap merendah diri tanpa merasa lemah atau rendah serta hina.
Nilai berikutnya adalah kesetiaan. Kesetiaan bermaksud setiap daripada kita mengakui kedaulatan perlembagaan negara dengan sepenuh hati tanpa ada perasaan yang berbelah bahagi sedikit pun serta berikrar taat setia kepada rukun negara yang lima mengatasi 'dinding' perkauman yang telah berlumut dengan membuka lembaran sejarah baru yang lebih menyerlah supaya perpaduan lebih cemerlang, kerjasama ke arah perpaduan lebih gemilang seterusnya melahirkan bangsa Malaysia yang terbilang seperti amnat Tun Abdul Razak iaitu “Memupuk taat setia yang tidak berbelah bahagi serta memahami hak serta keistimewaan masing-masing menjadi tanggungjawab utama rakyat kepada negara.”
Dalam menghadapi cabaran globalisasi yang getir dewasa ini, seharusnya nilai meritokrasi perlu dilaksanakan aplikasikan supaya menjamin hanya yang terbaik akan dikeluarkan oleh negara bagi meningkatkan prestasi negara dalam pelbagai aspek di samping bagi memacu kemajuan hingga tahap tertinggi. Meritokrasi menekankan persaingan secara terbuka dan pastinya akan menyebabkan sesetengah pihak berada di hieraki terbawah dalam lapangan pendidikan akan 'tertimbus' dan masih memerlukan komitmen jitu kerajaan untuk membantu golongan ini secara serius dan bersepadu. Dalam situasi ini, rakyat diajar tranformasi menghadapi realiti secara sepenuhnya bagi membiasakan diri apabila waktu menuntut liberalisasi secara keseluruhannya kepada negara beberapa ketika nanti.
Sesebuah negara bukanlah dinilai melalui kekuatan ketenteraan semata-mata tetapi yang lebih dominan ialah kemampuan sesebuah negara menguasai ilmu pengetahuan yang jauh mengatasi kekuatan ketenteraan seperti kata-kata Tun Dr. Mahathir “ Tidak ada sesuatu yang lebih melemahkan semangat daripada kurang pengetahuan. Kita tidak mahu rakyat Malaysia lemah semangat sehingga mudah ditawan.” Oleh yang demikian, nilai pendidikan perlu menjadi teras dalam merealisasikan gagasan 1Malaysia secara holistik. Walaupun wujud pelbagai aliran persekolahan di negara pada masa kini, pembudayaan 1Malaysia adalah perlu dirujuk dalam melaksanakan sebarang aktiviti bagi memupuk perasaan kesatuan pelajar diperingkat nasional.
Akhir sekali ialah nilai integriti. Merujuk kepada Pelan Integriti Nasional, integriti dapat dapat difahami sebagai kualiti unggul yang wujud secara keseluruhandan padu serta ia berlandaskan etika dan pencerminan etika dalam tindakan sehari-harian. Yang menang tidak semestinya dapat semua dan yang kalah tidaklah hilang semua. Kejujuran dalam lapangan serta sagala aspek kehidupan perlu ditingkatkan supaya tahap keyakinan rakyat dapat mencapai tahap menyakinkan dalam apa jua bidang perkhidmatan. Segala kelemahan diterima dengan lapang dada dan faktor kelayakkan serta kemampuan diberikan pertimbangan yang setingginya. Jangan hanya berfikir sesuatu yang tidak memihak kepada kita boleh 'dibeli' kerana ini tidak melambangkan integriti kepada diri pengamalnya dengan menginsafi pepatah “Bukan senang nak senang, bukan susah nak susah.”
Kesimpulannya, sesuatu keuntungan yang ingin diperolehi perlu dimukan dengan modal yang terpaksa dikorbankan. Dalam perkara ini, pengorbanan sebenar dalam proses untuk menjana tranformasi bangsa ini ialah 'kemahuan politik.' Sehubungan dengan itu, para pemimpin perlulah sanggup untuk membuat sebarang keputusan dalam situasi sukar serta berani memilih pendekatan yang tidak popular demi kebaikan rakyat secara keseluruhannya. Pihak-pihak tertentu diminta supaya tidak membuat tuntutan yang tidak berasas dengan mempersoalkan perkara yang telah termaktub dengan jelas di dalam perlembagaan negara seperti islam agama rasmi negara, bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan serta kedudukan raja-raja melayu dan hak istimewa orang melayu dan bumiputera dengan mengatakan ianya tidak lagi relevan. Ini sebenarnya mengundang syakwasangka kerana perkara tersebut telah menjadi sebati dengan sejarah bangsa negara ini. Orang bumiputera telah banyak melakukan liberalisasi seperti dalam lapangan ekonomi serta sosial. Tun V.T. Sambanthan pernah menegaskan “ Di sini kita mendapati pemimpin melayu berkata, kita menerima mereka sebagai saudara, kita akan beri mereka setiap peluang untuk meneruskan kehidupan di negara ini, kita berikaan mereka setiap peluang untuk menjadi warganegara. Dan seterusnya tanpa mengambil kira kebolehan berbahasa (melayu), ribuan orang cina dan ceylon menjadi warganegara.” Seterunya beliau melanjutkan ucapan, “ Seperti yang saya nyatakan, saya amat bernasib baik kerana dilahirkan di negara ini.” Berdasarkan ucapan YAB Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak “ Kita berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia.” Inilah sebenarnya tranformasi yang perlu dihalusi untuk melahirkan modal insan kelas pertama seperti yang disebut oleh bekas perdana menteri Malaysia yang kelima seperti yang diimpikan oleh sekalian rakyat di sebuah negara yang bernama Malaysia.






Tidak ada komentar:

Posting Komentar